Site icon Tazkirah

Doa Nabi Daud Untuk Menambahkan Kecintaan Kepada Allah

“Cinta itu adalah kehidupan. Tanpa cinta, tiada ertinya hidup.”

Cinta itu perlu dilalui dengan penuh keseimbangan. Apa yang paling penting ialah jangan mencintai lebih daripada cinta anda kepada Allah.

Mengapa? Kerana cinta kepada Allah itu ialah cinta yang utama dan hakiki. Apabila anda mencintai Allah, maka anda akan tahu batas-batas kehidupan di dunia.

Jadi, apabila anda mencintai makhlukNya atau segala yang ada di dunia, anda tidaklah mencintai dengan lebih keterlaluan.

Anda akan belajar menerima dengan hati yang terbuka jika cinta anda itu tidak diterima. Apabila anda berada dalam situasi tersebut, anda akan berbalik semula kepada Allah.

Tahukah anda, terdapat sebuah hadis yang menyebut mengenai doa Nabi Daud untuk meninggikan cintanya kepadaNya:

Dari Abu Ad-Darda’ RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ مِنْ دُعَاءِ دَاوُدَ يَقُوْلُ : اللَّهُمَّ ! إِنِّي أَسْألُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ ، وَالعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ . اللَّهُمَّ ! اِجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِليَّ مِنْ نَفْسِيْ وَأَهْلِي ، وَمِنَ المَاءِ البَارِدِ

Maksud: “Di antara doa Nabi Daud adalah: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepadaMu untuk selalu cinta kepadaMu, mencintai orang yang selalu mencintaiMu dan melakukan amal yang dapat menyampaikan aku untuk mencintaiMu. Ya Allah, jadikanlah cinta kepadaMu melebihi cintaku terhadap diriku sendiri, keluarga dan air yang dingin.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 1490)

Walaupun hadis ini dunukilkan lemah oleh Syeikh Salim bin ‘Ied Al-Hilaly dan diceritakan dalam penceritaan Al-Hakim, namun ada beberapa riwayat yang menyebut bahawa terdapat hadis yang menguatkannya.

Justeru, boleh menggunakan doa ini untuk meminta agar kecintaan kepada Allah semakin bertambah dan semoga jika kita mencintai sesuatu, biarlah cinta itu yang mendekatkan diri kita kepadaNya.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Rumaysho.com

Exit mobile version