Site icon Tazkirah

6 Perkara Untuk Memiliki Kerendahan Hati

Kerendahan hati atau dalam Bahasa Inggerisnya humility adalah sikap yang jarang-jarang dibualkan dalam gaya kehidupan sekarang. Mungkin juga ada yang tersilap memahami bahawa orang yang rendah hati adalah orang yang takut menyuarakan pendapat atau tidak berani. Ini adalah suatu pendapat yang tidak tepat. Bagi memahaminya, mari kita telusuri makna di sebalik perkataan ini terlebih dahulu.

Humility berasal daripada perkataan Latin iaitu humilitas yang berkait dengan kata humilis yang boleh diterjemahkan sebagai santun, ‘dari bumi’ atau ‘membumi’.

Dalam bahasa Arab, kita akan memanggil orang yang mempunyai kerendahan hati ini adalah orang yang tawaduk.

Ia sedikit berbeza dengan sikap rendah diri yang kadang-kadang membawa konotasi negatif iaitu merasa diri kurang penting, kurang dikagumi, tidak bijak sehingga mendorong sikap negatif seperti menyisihkan diri.

Saya merasakan rendah hati adalah perkataan lebih tepat yang dapat menggambarkan seorang yang tidak sombong, tidak angkuh dan tidak mempunyai ego melampau. Pemikir Buya Hamka mengatakan bahawa orang yang rendah hati adalah orang yang tahu diri. Dia menyedari keterbatasan serta kemampuan diri lalu dia tidak menjadi seorang yang sombong. Dia boleh mengaku kesalahan diri, meminta maaf dan belajar daripada kesalahan.

Manakala daripada sudut Psikologi pula, humility atau kerendahan hati ini seringkali dikaitkan dengan mereka yang memiliki matlamat hidup yang jelas. Dapat disimpulkan bahawa orang yang rendah hati dan tidak sombong dapat membina kepercayaan dengan orang di sekeliling serta membantu proses pembelajaran dalam hidup, iaitu kunci kepada pembangunan diri dan pencapaian matlamat.

Antara dapatan kajian lain juga mendapati bahawa kerendahan hati (humility) berhubung kait dengan peningkatan dalam kesihatan, rasa harga diri, kemahuan untuk memaafkan orang lain serta nilai spiritual.

Jadi bagaimana untuk kita mendidik diri agar mempunyai humility atau kerendahan hati?

#1. Minta Maklum Balas

Rasa rendah hati melibatkan proses melihat ke dalam diri dan melakukan refleksi. Bagi menyeimbangkan antara apa yang anda fikirkan tentang diri sendiri serta apa yang orang lain fikirkan, maka anda boleh meminta pendapat serta kritikan yang berobjektif dan membina.

#2- Uruskan Rasa Prasangka

Tidak dapat dinafikan yang kadang-kadang kita ada rasa prasangka atau prejudis dengan orang, cara hidup dan kepercayaan seseorang.

Bagi mendidik perasaan rendah hati, uruskan rasa prasangka dan prejudis tersebut dengan cuba memahami. Dekati mereka dan dengar apa yang ingin diperkatakan bukan dengan niat untuk menghukum.

#3- Mengaku Bila Salah

Untuk mengaku apabila melakukan kesalahan adalah hal yang selalunya sukar dan berat. Kita ingin menjaga air muka sendiri, tidak mahu kelihatan lemah atau tidak mahu dikasihani.

Walau bagaimanapun, mengaku salah tidak akan mengurangkan harga diri sebenarnya bahkan anda dilihat sebagai seorang yang lebih berani, rendah hati, bertanggungjawab serta tidak malu untuk belajar daripada kesalahan.

#4- Benar-benar Mendengar

Kata bijak pandai, bertanya adalah kunci kepada ilmu pengetahuan. Namun jika anda bertanya 1000 soalan sekalipun, tetapi tidak mahu benar-benar mendengar jawapannya, maka ia tetap tidak mendatangkan faedah.

Dengan mendengar serta memahami sudut pandang orang yang bercakap, kita akan belajar untuk menurunkan ego sekaligus mendidik sikap rendah hati.

#5- Tanya Soalan

Bertanya soalan jika tidak tahu atau tidak faham menunjukkan anda benar-benar prihatin dan ingin memahami suatu perkara. Namun hal ini perlu dilakukan berdasarkan kesesuaian keadaan dan konteks.

Ada masanya, anda dikehendaki mencari dahulu jawapan sendiri barulah boleh bertanya. Ia menunjukkan anda terlebih dahulu berusaha. Ada pula masa anda perlu terus bertanya untuk menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

#6- Terima Bahawa Segalanya Kembali Kepada Takdir Tuhan

Kadang-kala perancangan hidup tidak berjalan dengan lancar. Rasa rendah hati membantu anda untuk mengawal emosi diri sendiri, menerima cabaran yang datang tanpa rasa takut untuk kalah.

Dan apabila kegagalan terjadi, anda akan menggunakan pengalaman yang ada untuk mencuba lebih baik pada masa akan datang. Jika anda berjaya sekalipun, anda tidak angkuh atau sombong, tetapi menganggap bahawa ia adalah rezeki daripada Tuhan dengan asbab usaha yang telah dilakukan.

Kesimpulan

Sikap rendah hati dan humility akan membantu kita untuk membina hubungan baik dengan orang di sekeliling. Ia tidak bermakna, kita langsung tidak boleh marah apabila berlaku perkara buruk seperti dizalimi atau ditindas. Tetapi kita jadi tahu diri dan mampu bertindak sesuai dengan keadaan dan mengikut keperluan.

Exit mobile version