Oleh Fizah Lee • 16 Jun 2020 • 3 min baca
Bagaimana dengan pasca Ramadan anda setakat ini? Adakah anda masih mengekalkan momentum Ramadan seperti sebelum ini atau sebaliknya?
Bulan Ramadan sering dikaitkan dengan bulan untuk mendidik dan mentarbiah diri kita dengan perkara-perkara baik dan ibadah yang boleh mendekatkan diri dengan tuhan.
Sebagai contoh mengaji Al-Quran untuk khatam dan dalam masa yang sama untuk mentadabburnya. Apabila kita membaca Al-Quran, hati kita akan lebih lembut dan mudah untuk melakukan kebaikan.
Apatah lagi apabila kita berjaya memahami Al-Quran dan surah yang ada, pastinya kita dapat menghayati isi kandungan yang disampaikan.
Dengan itulah cara kita dapat menenangkan hati daripada kesibukan dunia dan masalah yang melanda. Jadi, bagaimana untuk menjadikan diri kekal istiqamah membaca dan khatam Quran walau selepas Ramadan?
Ini ialah beberapa tips yang boleh diikuti;
Istilah ini sangatlah masyhur dalam kalangan kita. Namun, berapa ramai di antara kita yang faham dan mengamalkannya.
Biarlah bacaan Al-Quran itu dilakukan secara sedikit, namun ia kekal. Itu adalah lebih baik berbanding dengan yang melakukan secara banyak, namun hanya dalam masa yang ditetapkan sahaja.
Bacalah Al-Quran satu muka surat sehari, asalkan ia dilakukan setiap hari. Itu adalah lebih baik dan boleh dijadikan permulaan untuk istiqamah.
Waktu yang paling mudah dan efisien untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat. Ambil ruang tersebut untuk membelek Al-Quran dan membacanya.
Jika punya kesukaran di siang hari, gunakan waktu seperti antara Maghrib dan Isyak untuk membaca Al-Quran.
Jika terlalu sibuk dengan urusan dunia, belajar untuk curi masa membaca Al-Quran. Selitkan aktiviti harian anda dengan Al-Quran.
Sebagai contoh, ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerja atau semasa di dalam LRT, bolehlah baca beberapa ayat yang sempat.
Tidak semestinya habiskan satu muka surat setiap hari. Jika dibaca tiga ke empat ayat juga sudah memadai, asalkan anda istiqamah.
Jika tidak sempat untuk membacanya, tidak mengapa. Namun, jangan jadikan kekangan tersebut sebagai alasan.
Jadi, anda boleh guna cara lain untuk isi hari anda dengan Al-Quran seperti memperdengarkan bacaan yang ada.
Anda boleh guna aplikasi-aplikasi yang ada untuk membantu mengisi hari anda atau boleh sahaja dibuka radio mahupun Youtube.
Niat sebenarnya merupakan perkara yang paling penting dalam kehidupan kita. Setiap amalan disertai dengan niat dan niat itu sendiri yang dapat membantu diri kita untuk kembali ke landasan apabila hampir terbabas.
Hal ini kerana, setiap perkara yang kita tetapkan di dalam minda pasti akan membantu mengingatkan diri kita akan niat dan tujuan asal.
Justeru, letakkan matlamat dan niat yang jitu untuk membantu anda terus istiqamah dengan tujuan dan apa yang ingin dicapai.
Al-Quran itu bukan dibaca secara bermusim, tetapi ia perlu diteruskan setiap hari. Ia bukanlah sebuah kitab yang hanya dibuka apabila datangnya bulan Ramadan.
Bacalah ia dengan istiqamah walau sedikit. Teruskan misi untuk khatam Al-Quran walaupun bukan dalam bulan Ramadan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.