Gaya Hidup

5 Cara Hargai Usaha Ibu Bapa Menyambut Anda Pulang Beraya

Oleh Natirah Azira  •  15 Jun 2020  •  3 min baca

Hujung minggu lalu menyaksikan jalan raya sesak dengan kenderaan-kenderaan yang bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing untuk beraya. Mungkin ada juga yang baru merancang untuk pulang pada hujung minggu ini bagi mengelakkan kesesakan melampau.

Walaupun sambutan hari raya kali ini sedikit lewat, namun perkara itu tidak memudarkan semangat anak-anak perantau serta ibu bapa yang menunggu ketibaan mereka di kampung. Ada yang berkongsi video dan gambar-gambar di kampung halaman masing-masing dengan aktiviti yang pelbagai – ada yang membakar lemang, mengacau dodol dan menganyam ketupat.

Dalam kita bersuka ria menyambut hari raya bersama keluarga tercinta, usah dilupa menjaga adab serta menghargai usaha mereka dengan memelihara beberapa perkara.

#1- Membawa Buah Tangan

Usah pulang dengan tangan kosong. Sebaiknya bawalah apa-apa buah tangan sebagai tanda mata buat ibu bapa dan ahli keluarga. Sekalipun mereka tidak mengharapkan apa-apa sekalipun selain kehadiran anda di sisi, tetapi tidak salah untuk turut membalas usaha ibu bapa yang sudah menyediakan sambutan hari raya.

#2- Membantu Kerja-kerja Rumah

Sekalipun anda sudah lama tidak pulang ke kampung, namun itu bukan alasan untuk dimanjakan dan diraikan tanpa membantu kerja-kerja di rumah. Ringankan beban ibu anda yang sudah bersungguh mengemas bilik, membersihkan rumah, dan mempersiapkan juadah untuk menjamu anak-anak yang baru pulang beraya.

#3- Memastikan Penggunaan Air Dan Elektrik Terkawal

Apabila ahli keluarga berkumpul beramai-ramai, sudah tentu penggunaan air dan elektrik akan meningkat – contohnya anak-anak yang seronok bermain air, yang memasang kipas tanpa henti dari siang ke malam, dan ke siang semula dan yang berterusan mengecas telefon pintar masing-masing.

Aktiviti anak-anak kadang kala bukan dalam perhatian ibu bapa setiap masa, tetapi cubalah memastikan penggunaan air dan elektrik masih dalam keadaan terkawal.

#4- Mengawal Anak-anak Agar Tidak Menyelerakkan Rumah Secara Melampau

Telatah kanak-kanak memang tidak dapat dijangka, lebih-lebih lagi yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Rumah akan berselerak, itu sudah pasti. Namun, anda boleh mengajar mereka agar mengawal tingkah laku serta mengemas semula setelah bermain. Jangan peningkan ibu bapa anda dengan kerenah anak-anak, lebih teruk lagi, jangan biarkan datuk dan nenek mereka pula yang mengemas.

#5- Memastikan Rumah Ditinggalkan Dalam Keadaan Baik

Sebelum pulang semula ke tempat masing-masing, jangan lupa memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan baik. Buang sampah sarap yang ada dan kemaskan bilik yang telah digunakan. Sebagaimana ia bersih dan elok ketika anda tiba, seperti itu juga anda perlu meninggalkannya sebelum memulakan perjalanan pulang.

Ingatlah bahawa menghargai dan menghormati ibu bapa itu ada pelbagai cara, contohnya dengan menyenangkan hati mereka dengan tindakan dan perbuatan anda selama bersama mereka. Semoga sambutan perayaan ini lebih bermakna.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami