Site icon Tazkirah

Sedekah – Sembunyi Atau Terang-terangan?

Isu melakukan kebaikan sama ada secara sembunyi atau terang-terangan sentiasa timbul dan tenggelam. Tidak lama dahulu, seorang pendakwah dikecam oleh sebilangan orang yang mengatakan bahawa beliau tidak ikhlas dan riyak dalam bersedekah, sengaja menunjuk-nunjuk perbuatan sedekahnya dengan memuat naik klip video di media sosial. Sebilangan orang pula mempertahankan perbuatan tersebut.

Ada pula video TikTok yang tular menunjukkan seorang anak muda merakam video sepanjang ibunya membeli barangan di pasaraya lalu membayarkan harga barangan tersebut. Situasi ini juga dikecam dan netizen ramai yang mengatakan bahawa pemuda itu sepatutnya membantu dan tidak hanya merakam sahaja. Ada pula yang memberi komen berbaur kritikan – orang yang selalu membantu biasanya tidak akan memuat naik ke media sosial.

Artikel kali ini bukan ingin membincangkan patut atau tidak perbuatan tersebut secara spesifik, namun ingin mengulas secara umum tentang persoalan – adakah sedekah atau perbuatan baik sepatutnya dizahirkan atau tidak?

Menurut fatwa oleh Syaikh Abdullah bin Abdil Aziz Al Aqil, pada asalnya, hukum bersedekah secara sembunyi itu lebih afdhal berdasarkan firman Allah SWT.

“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah 2:271)

Walau bagaimanapun, berdasarkan dalil ini, sedekah juga boleh dizahirkan secara terang-terangan dengan beberapa syarat.

1. Kerana Ia Adalah Zakat

Sedekah tersebut tidak salah dizahirkan atau dilakukan secara terang-terangan jika ia adalah zakat. Hal ini kerana, jika dilakukan secara sembunyi-sembunyi, bimbang wujud prasangka bahawa seseorang itu tidak membayar zakat.

2. Untuk Mengajak Orang Lain Melakukan Kebaikan

Sedekah juga boleh dilakukan secara terang-terangan jika ada manfaat lebih besar yang diperoleh daripada perbuatan sedekah yang dilakukan.

Ini kerana, barangsiapa yang melakukan perbuatan yang baik kemudian orang lain pula mengikutnya, maka dia juga akan mendapat pahala selama mana orang tersebut beramal dengannya.

Adapun soal riak atau tidak, kita perlu membezakan antara dua situasi. Pertama, diri sendiri sebagai pihak yang memberi sedekah. Kedua, sebagai orang yang melihat orang lain memberikan sedekah.

Jika kita adalah orang yang memberikan sedekah, sebaiknya lazimi dahulu perbuatan sedekah tersebut sehingga menjadi kebiasaan diri. Bererti, jika orang melihat atau tidak sekalipun, kita tetap akan melakukan amalan tersebut.

Seterusnya, jika ingin menzahirkannya suapaya dapat menggalakkan orang lain mengikutinya sebagai satu contoh, atau dapat membuka lagi peluang orang lain untuk menderma sama, maka ia dibolehkan.

Manakala, jika kita melihat orang lain memberikan sedekah, maka elakkanlah sangka buruk. Bagaimana jika dia memang berniat untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan, sedangkan kita telah mengatakan yang bukan-bukan.

Hakikatnya, niat adalah perkara yang sangat halus dan bersifat peribadi. Jika kita tidak suka sekalipun dengan perbuatan tersebut, jauhkan diri daripada terperangkap dalam budaya mengumpat atau ghibah.

Dunia masa sekarang adalah dunia yang kebaikan dan kejahatan kedua-duanya sangat cepat tersebar. Maka jadilah orang yang menyebarkan kebaikan dan bukan fitnah atau kejahatan.

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Rabbnya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah 2:274)

Rujukan:
1. Mufti Wilayah Persekutuan
2. Muslim.or.id

Exit mobile version