Oleh Fizah Lee • 15 Jun 2020 • 3 min baca
Ada dalam kalangan kita yang baru berjinak-jinak untuk menunaikan solat sunat malam atau selalunya orang kita akan menggelarnya solat Tahajud.
Bangun pada dua pertiga malam untuk melakukan qiamullail adalah salah satu amalan yang dituntut untuk dilakukan. Hiduplah anda seribu tahun pun, namun cubalah untuk melakukannya walau sekali dalam hidup anda.
Tidak semestinya bangun malam, anda diwajibkan untuk melakukan solat Tahajud. Jika tidak mampu atau terlalu mengantuk, anda sebenarnya boleh melakukan amalan lain seperti berzikir, istighfar, berdoa meminta keampunan ataupun mengaji al-Quran.
Solat Tahajud adalah amalan yang biasanya disekalikan ketika melakukan qiamullail. Sudah menjadi kebiasaan kita dengan mengikuti amalan sunnah tersebut. Namun, ia bukanlah syarat sah kepada qiamullail yang dilakukan itu.
Walau bagaimanapun, jika anda tetap ingin melakukan solat-solat sunat yang lain, ia adalah digalakkan. Ada juga dengan orang yang baru berjinak-jinak untuk melakukan qiamullail. Ditambah pula dengan individu yang melakukannya secara berjemaah seperti yang menetap di asrama dan sebagainya.
Kebiasaannya, pada permulaan seseorang itu akan dibuai dengan perasaan mengantuk. Jadi, apakah hukumnya melakukan solat dalam keadaan mengantuk?
Daripada ‘Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ يُصَلِّى فَلْيَرْقُدْ حَتَّى يَذْهَبَ عَنْهُ النَّوْمُ ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا صَلَّى وَهُوَ نَاعِسٌ لاَ يَدْرِى لَعَلَّهُ يَسْتَغْفِرُ فَيَسُبَّ نَفْسَهُ
Maksud: “Jika salah seorang di antara kalian dalam keadaan mengantuk ketika berada dalam solatnya, hendaklah ia tidur terlebih dahulu sehingga hilang mengantuknya. Kerana jika ia solat walaupun mengantuk, ia tidak akan sedar – Mungkin ia ingin berdoa untuk meminta keampunan tetapi rupaya berdoa dengan menghina diri sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 212)
Menurut Ibnu Hajar, hadis di atas menekankan kepada kita bahawa seseorang yang ingin menunaikan solat sama ada yang wajib mahupun sunat perlulah dilakukan dalam keadaan khusyuk dan sedar.
Jika dalam keadaan tidak sedar atau separa sedar, bimbang jika seseorang itu akan melakukan kesilapan yang mungkin boleh membatalkan solat dan bercanggah dengan amalan yang sepatutnya.
Justeru, jika wujud perasaan mengantuk, lakukan sesuatu yang boleh menghilangkannya seperti:
#1 – Tidur awal di malam hari.
#2 – Mengamalkan qailullah (tidur siang sejenak).
#3 – Membasuh muka dan menggosok gigi sebelum berwuduk.
#4 – Jika tidur lewat pada malamnya, anda boleh bangun melakukan qiamullail sedikit lewat seperti setengah jam sebelum Subuh.
#5 – Minum air masak dan elakkan minuman manis.
#6 – Kalau boleh solat di bukan ruangan tidur adalah lebih baik. Ia bagi membantu menghilangkan aura mengantuk anda dengan mengambil aura baru seperti solat di ruang tamu.
#7 – Jika tidak mampu bangun untuk solat, boleh sahaja amalkan zikir dan berdoa ketika terjaga.
Perasaan mengantuk dan ingin tidur itu adalah fitrah manusia yang tidak boleh dielak. Namun, dalam masa yang sama ia boleh dikawal dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Jika terlalu mengantuk, ambil masa sejenak untuk tidur. Elakkan solat atau berkata-kata dalam keadaan mengantuk dan mamai. Bimbang jika anda menyebut perkara dan doa yang tidak sepatutnya.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.