Keluarga

“Lelaki Yang Baik Untuk Perempuan Yang Baik” – Apa Cerita Di Sebalik Kata-Kata Ini

Oleh Natirah Azira  •  10 Jun 2020  •  3 min baca

“Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat”

Demikian ayat yang sering kita dengar meniti di bibir-bibir ustaz, penceramah atau kita sendiri pernah mengucapkannya kepada orang lain.

Ia disandarkan kepada satu ayat daripada Surah An-Nur yang berbunyi:

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” (Surah An-Nur 24:26)

Ada pula yang mengajukan persoalan – jika semua lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik, jadi siapa pula yang akan membimbing lelaki atau perempuan yang kurang baik yang memerlukan tunjuk ajar?

Pembelaan Kepada Saidatina Aisyah

Apa yang kita mungkin tidak tahu ialah, ayat ini sebenarnya diturunkan sebagai pembelaan buat Saidatina Aisyah yang difitnah melakukan sesuatu yang tidak baik dengan sahabat Nabi SAW. Peristiwa tersebut dipanggil ‘hadis al-ifk’.

Justeru, ayat di atas turun sebagai pembelaan buat Saidatina Aisyah untuk membersihkan namanya. Seorang yang bersuamikan orang yang baik, maka dia juga adalah orang yang baik. Memandangkan Aisyah bersuamikan Rasulullah SAW yang baik, maka Aisyah juga adalah seorang wanita yang baik.

Panduan Buat Umat

Sekalipun ia asalnya diturunkan kepada Saidatina Aisyah dalam peristiwa ini, namun ayat tersebut juga boleh menjadi panduan buat kita untuk mencari orang yang baik sebagai pasangan.

Secara peribadinya, baik yang difahami di sini bukan hanya dalam aspek agama atau penampilan sahaja.

“Dia tak tinggal solat”

“Dia pakai tudung labuh”

Namun baik yang difahami di sini merangkumi ciri-ciri lain seperti tahu menjaga diri, amanah dengan tanggungjawab, menjaga akhlak dan sebagainya.

Ayat Tersebut Bukan Jaminan

Selain itu, apa yang disalah fahami ramai orang adalah menganggap bahawa ayat tersebut merupakan suatu jaminan atau janji bahawa orang yang baik semestinya mendapat pasangan yang baik.

Sedangkan kita tahu bahawa ada kisah nabi yang mendapat isteri yang ingkar kepada Allah seperti Nabi Nuh dan Nabi Lut, manakala wanita mulia, Asiah pula mempunyai suami yang tidak beriman seperti Firaun.

Hal ini menunjukkan kebaikan di sisi Allah itu lebih luas maknanya. Lihat bagaimana Asiah dinaikkan martabatnya di sisi Allah apabila kekal beriman dan tidak mengikut telunjuk Firaun.

Istilah ‘baik’ dan ‘jahat’ perlu difahami berdasarkan keseluruhan petunjuk serta pedoman yang telah diberikan melalui firman Allah dalam Al-Quran serta sabda Nabi SAW.

Seperti yang kita ketahui sifat yang ada pada nabi sendiri yang perlu dicontohi seperti bercakap benar, amanah, berlembut dengan anak-anak kecil serta berkhidmat kepada isteri. Manakala hal yang buruk pula seperti mereka yang tidak menghormati ibu bapa, tidak menjaga kata-kata, suka bergaduh sehingga memutuskan silaturahim dan lain-lain.

Inilah hal yang perlu kita fahami di sebalik ayat di atas. Kita dianjurkan berusaha mencari pasangan yang baik dan serasi dengan diri. Namun diingatkan bahawa baik buruk yang ada pada seseorang bukan suatu perkara yang tetap dan tidak berubah selama-lamanya. Kerana itu, kita sentiasa perlu mengamalkan budaya nasihat menasihati dan membimbing satu sama lain.

Rujukan:
Hafizfirdaus.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami