Zainab binti Jahsy ialah isteri Rasulullah yang diceritakan dalam Al-Quran. Perkahwinan Zainab dengan Nabi SAW dilaksanakan secara langsung dari Allah SWT tanpa ada wali dalam kalangan manusia yang menikahkan.
Di samping menjadi isteri baginda, Zainab juga merupakan sepupu Nabi SAW. Baginda pernah meminang Zainab untuk anak angkatnya Zaid bin Haritsah, satu-satunya sahabat Nabi SAW yang disebutkan namanya dalam Al-Quran.
Dalam kitab Ar-Rahiqul Makhtum menyebut, “Zainab binti Jahsy anak dari ibu saudara Nabi. Awalnya adalah isteri Zaid bin Haritsah yang sebelumnya dikenal sebagai anak angkat Rasulullah. Zaid menceraikan Zainab. Maka Allah memerintahkan Rasulullah menikahi Zainab untuk membatalkan keyakinan masyarakat Quraisy yang mengharamkan mengahwini bekas isteri anak angkat. Dinikahinya pada tahun ke-5 Hijrah.”(Sejarah Hidup Dan Perjuangan Rasulullah – Ar-Rahiqul Maktum, hal.218)
Hubungan Zaid dan Zainab bergolak seketika menyebabkan Zaid mengadu masalah rumah tangganya kepada Baginda. Nabi cuba mempertahankan perkahwinan kedua-duanya. Namun, wahyu Allah turun dan memerintahkan Rasulullah SAW berkahwin dengan Zainab. Allah ta’ala berfirman :
فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا
“Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi”. (Surah Al-Ahzab 33:37)
Dalam Tafsir Ibnu Katsir menyebut berkenan ayat ini bahawa, “Dahulu Rasulullah SAW menikah dengan puteri ibu saudaranya, Zainab binti Jahsy Al-Asadiyyah. Sedangkan ibunya bernama adalah Umaimah binti Abdul Muthalib. Zainab hidup bersamanya lebih kurang 1 tahun. Kemudian terjadi sesuatu diantara keduanya. Maka Zaid mengeluhkan hal tersebut kepada Rasulullah..”
“Yakni, ketika dia telah selesai dengan isterinya dan menceraikannya, maka Kami nikahkan engkau dengannya. Dan yang menjadi wali dari pernikahannya ini adalah Allah, dalam erti Allah memberikan wahyu kepadanya untuk menikahinya, tanpa akad, tanpa mahar dan saksi”. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir, hal. 491-492)
Pelaksanaan perkahwinan yang Allah perintahkan bertujuan untuk membersihkan tradisi jahiliyyah yang mengganggap anak angkat sama seperti anak kandung dan tidak boleh berkahwin dengan bekas isteri dari anak angkat.
Perkahwinan Zainab dengan Nabi merupakan bukti bahawa hukum jahiliyyah dilupuskan setelah turunnya wahyu Allah dalam surah Al-Ahzab. Melalui kisah ini dapatlah disimpulkan bahawa,
1. Mantan (bekas) isteri anak angkat boleh dikahwini oleh ayah angkat. Nabi berkahwin dengan Zainab, bekas isteri Zaid bin Haritsah, di mana pada waktu ini Zaid merupakan anak angkat baginda.
2. Anak angkat bukan anak kandung dan tidak boleh berbinkan ayah angkat. Anak angkat perlu dibinkan dengan ayah kandung sebenar.
“Panggilah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai maula-maula (hamba-hamba yang dibebaskan) kamu. (Surah al-Ahzab 33:5)
3. Boleh berkahwin dengan sepupu. Nabi berkahwin dengan Zainab, sepupu baginda. Ibu Zainab adik-beradik dengan ayah Nabi – Abdullah bin Abdul Muthalib.
Zainab cukup terkenal dalam kalangan bangsawan arab Quraisy. Mulanya dia tidak sudi berkahwin dengan Zaid yang hanya seorang hamba yang Nabi pernah bebaskan. Namun, Zainab akur setelah Allah menegur perbuatannya dalam Surah Al-Ahzab ayat ke 36.
Perkahwinan Zainab dengan Nabi SAW adalah aturan daripada Allah. Kedua-duanya arahan daripada Allah SWT yang berkait rapat dengan amalan buruk daripada kaum jahiliyyah, yang akhirnya telah berjaya dihapuskan serta merta.
Rujukan:
1. Sejarah Hidup Dan Perjuangan Rasulullah (Ar-Rahiqul Maktum) oleh M. Syaikh Shafiyyurahman al-Mubarakfuri.
2. Tafsir Ibnu Katsir – Tahqiq Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishaq al-Sheikh.

