Sering kita dengar – jika seseorang itu menolong orang lain ke arah kebaikan, maka pahala kebaikannya juga akan terpalit sekali.
Hal ini adalah sama dengan insan yang menjadi asbab untuk insan lain berbuat kebaikan, maka pahala juga boleh dicatat ke atas anda walaupun tugas anda hanya membantu insan tersebut berbuat baik.
Sebagai contoh, rakan serumah anda sering melihat anda bangun menunaikan tahajjud pada setiap malam. Dengan itu, hatinya terbuka untuk turut menunaikan solat tahajjud walaupun di hujung-hujung waktu, maka ganjaran pahala juga akan ditambah ke dalam bakul amalan anda.
Dengan ini, anda akan mendapat dua kali pahala, iaitu pahala menunaikan solat tahajjud dan pahala asbab orang lain terbuka hati menunaikannya kerana anda, walaupun dalam keadaan anda tidak menyedarinya.
Itu perkara asas yang berlaku dalam menggapai amalan. Disebabkan itu, kita dituntut untuk berbuat baik walau sekecil-kecil amalan.
Dalam masa yang sama, anda perlu sedar bahawa ia juga diaplikasikan dalam perbuatan dosa. Dosa yang mengalir ialah yang tanpa sedar anda menjadi asbab orang lain melakukannya.
Paling mengerikan ialah apabila anda menolong insan lain ke arah perbuatan maksiat tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan menolong ke arah keburukan?
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Mafhum: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Maidah, 5:2)
Imam Nawawi menyebut – “Barangsiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan, maka ia akan mendapatkan pahala seperti orang yang mengikutinya. Sedangkan, barangsiapa yang memberi petunjuk kepada kesesatan, maka ia akan mendapatkan dosa seperti orang yang mengikutinya.”
#1 – Yang pertama ialah memberi petunjuk kepada insan lain untuk berbuat kejahatan. Sebagai contoh, anda menyukai dan memberi komen-komen berbaur galakan kepada rakan anda untuk sentiasa tidak menutup aurat.
Benar, salah satu cara dakwah ialah dengan berhemah dan tidak memburuk-burukkan pelakunya. Namun, dalam masa yang sama, jangan menjadi sumber galakan untuk mereka terus hanyut dalam dosa.
#2 – Kedua ialah dengan menyebarluaskan kejahatan. Setiap dosa yang anda lakukan telah dinyatakan tanpa segan-silu di alam maya.
Alam maya yang merupakan tatapan umum merupakan tempat yang paling bahaya. Ramai orang yang boleh terpengaruh dengan setiap perkara yang berlaku.
Oleh itu, hati-hati dalam membuat posting yang berbaur maksiat dan dosa.
#3 – Yang terakhir ialah memberi peluang kepada orang lain untuk melakukan dosa. Sebagai contoh, anda sudah mengetahui bahawa si fulan tersebut ingin menyewa premis daripada anda untuk membuka perniagaan menjual arak.
Maka, ia adalah dikira sebagai salah satu dosa juga kerana anda telah membantu melancarkan perniagaannya. Berbeza jika anda tidak mengetahuinya, maka ia adalah tidak mengapa.
Seperti mana pahala yang boleh mengalir tanpa anda sedar apabila orang sekeliling anda mengikut perbuatan baik anda, seperti itu jugalah dosa juga boleh bertambah kerana anda telah membantu memudahkan urusan si pelaku dosa.
Berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk anda untuk berbuat sesuatu. Semoga bakul amalan kita sentiasa berat ke sebelah kanan berbanding dengan kiri.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Muslim.or.id
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.