Site icon Tazkirah

Homesick Yang Berpanjangan? Ini Tips Untuk Atasinya

Daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB), ramai di antara kita yang terpisah daripada keluarga.

Terutamanya golongan bujang yang bekerja jauh dari kampung halaman mengakibatkan sudah lama tidak bersua muka dengan orang tua dan ahli keluarga di kampung.

Jika hari itu kita melihat berita mengenai para mahasiswa yang telah berjaya dihantar pulang oleh kerajaan dan pihak pengurusan universiti setelah keluhan mereka didengari akibat perasaan rindu yang membuak-buak terhadap ahli keluarga.

Kini, golongan bujang yang telah lama tidak bersua dengan ahli keluarga ditambah pula terpaksa meraikan sambutan Syawal jauh di sisi yang tersayang sedang mendoakan yang terbaik agar tiba pula giliran mereka untuk dibenarkan pulang suatu hari nanti.

Namun begitu, kita sudah dapat menarik nafas lega apabila pihak pemerintah memaklumkan bahawa kini rakyat sudah dibenarkan merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula pada 10 Jun ini.

Walaupun perasaan rindu itu makin lama makin membuak-buak, namun menjadi tanggungjawab kita untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Adapun, buat mereka yang sedang tenggelam dalam fasa homesick dan rindu kepada insan yang tersayang, ini adalah beberapa tips yang boleh dilakukan bagi mengubat sedikit kerinduan itu.

#1 – Ikhlaskan Hati KepadaNya

Kembali kepada niat utama anda bekerja jauh dari keluarga. Mengapa? Pastinya disebabkan tujuan mencari rezeki yang halal untuk menampung diri dan ahli keluarga.

Berbalik kepada niat tersebut dan ikhlaskan hati kepadaNya. Ingat, anda seharusnya perlu kuat demi orang tersayang.

#2 – Jangan Mengenang Kehidupan Terlalu Lama

Berhenti mengenang kehidupan lama anda dengan terlalu kerap. Faktor utama homesick yang semakin teruk ialah seseorang itu mengenang kehidupan lama mereka dengan terlalu kerap.

Rindu masakan ibu, rindu bunyi ayam berkokok, rindu untuk bergaduh dengan adik-beradik – semuanya tidak menjadi suatu kesalahan jika ia hadir kadang-kadang.

Namun, jika terlalu kerap sehingga mengganggu fungsi kehidupan anda, mengakibatkan tugas yang perlu dilaksanakan tidak terlaksana dengan baik atau sehingga lupa kepada Allah, itu bermaksud anda sudah berada pada tahap bahaya.

#3 – Jalani Rutin Dengan Biasa

Untuk mengelakkan kehidupan anda terganggu, apa kata mula jalani rutin harian anda dengan biasa. Jika anda bekerja dari rumah dan waktu kerja bermula pukul 8 pagi, pastikan anda sudah bersedia di hadapan kerja-kerja anda dengan baik.

Bersihkan diri terlebih dahulu dan kemaskan tempat kerja anda. Walaupun anda kerja dari rumah, itu tidak menjadikan alasan untuk anda tidak menguruskan diri dengan baik.

Sebenarnya, semangat kita juga dipengaruhi oleh perkara-perkara sekeliling. Mandi dapat menyegarkan otak dan badan anda, manakala kekemasan tempat kerja dapat membantu anda bekerja dengan baik.

Justeru, rutin harian anda tetap perlu berjalan dengan baik. Lakukan kerja dengan elok, jangan lupa makan tepat pada waktu dan pastikan anda mendapat tidur yang cukup.

#4 – Sibukkan Diri

Jika anda masih gagal membendung perasaan tersebut, cuba tips ini dengan menyibukkan diri. Lakukan perkara yang boleh mengganggu fokus anda.

Sebagai contoh, mula membaca buku atau mengemas rumah setiap hari. Anda juga boleh belajar memasak melalui Youtube atau Instagram dan cubalah masak resepi-resepi yang ada.

Ia sedikit sebanyak dapat membantu anda. Paling tidak pun, tontonlah filem atau drama yang diminati. Tetapi, elakkan menonton rancangan yang sedih dan boleh mengganggu emosi anda. Bimbang jika ia boleh merosakkan lagi mood anda.

Sibukkan diri ialah tips yang paling berkesan untuk orang yang ingin merawat duka mereka ketika putus cinta. Jadi, tak salah kalau anda yang sedang homesick pun mencubanya.

#5 – Tanya Khabar Insan Yang Dirindui

Sekali-sekala, telefon atau video call insan yang tersayang untuk bertanya khabar tentang mereka.

Sebenarnya, ini ialah perkara asas yang perlu dilakukan oleh seorang anak kepada orang tua mereka. Telefon atau mesej mereka setiap hari. Jangan terus hilang daripada radar, bimbang jika ia boleh menimbulkan keresahan kepada mereka.

Rindu itu perlu diluah. Kadang-kadang, punca perasaan itu semakin merebak adalah disebabkan perasaan yang sudah lama terpendam. Akhirnya, ia boleh meletup.

Justeru, luahkanlah rindu anda dengan cara yang betul. Jangan malu untuk mengakui perasaan anda kerana ia adalah fitrah.

Kesimpulan

Perasaan itu seperti memandu kapal terbang. Jika ia tidak dikawal dengan baik, lama-lama ia boleh terhempas.

Kawal dan pastikan perasaan anda berada dalam landasan yang betul. Terus bersabar dan berdoa agar suatu hari nanti rindu itu boleh sampai ke destinasi untuk dizahirkan.

Exit mobile version