Gaya Hidup, Ibadah

5 Amalan Selepas Ramadan Yang Mudah Dilakukan

Oleh Natirah Azira  •  29 May 2020  •  3 min baca

Ramadan dah berlalu.

Rasa kosong tak tahu nak buat apa?

Nanti dulu, masih ada banyak perkara yang boleh kita lakukan walaupun tidak lagi berada dalam madrasah Ramadan. Usah lupa, kehidupan kita sebagai seorang Muslim bukan hanya dalam bulan Ramadan sahaja.

Jadi jom ikuti 5 amalan yang perlu dilakukan dalam mengisi kehidupan seharian kita sebagai seorang Muslim.

#1- Tetap Menjaga Solat 5 Waktu

Ramai yang teruja apabila berpeluang solat hari raya di rumah baru-baru ini dengan diimami imam dan khatib-khatib yang baru belajar berkhutbah. Ia pasti pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup.

Sebesar mana rasa teruja dan rajin ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri, diharapkan begitu jualah yang dirasakan apabila menunaikan solat lima waktu yang dilakukan sehari-hari, bahkan ia lebih perlu dijaga kerana tarafnya wajib berbanding solat hari raya.

“Allah ‘azza wa jalla berfirman, ‘Aku wajibkan bagi umatmu solat lima waktu. Aku berjanji pada diriku bahwa barangsiapa yang menjaganya pada waktunya, Aku akan memasukkannya ke dalam syurga. Adapun orang yang tidak menjaganya, maka aku tidak memiliki janji padanya’.” (HR. Sunan Ibnu Majah no. 1160. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan)

Menjaga solat pada waktu ialah bersolat di awal waktu serta tidak melewat-lewatkannya.

#2- Melazimi Puasa Sunat

Antara puasa sunat yang dianjurkan ialah puasa sunat enam hari di bulan Syawal, puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa hari putih (13, 14 dan 15 hari bulan) dalam setiap bulan Hijrah dan beberapa jenis puasa sunat yang lain.

Jika berat untuk berpuasa Isnin dan Khamis bagi setiap minggu, apa kata kita mula cuba berpuasa hanya 3 hari di setiap bulan iaitu pada tanggal 13, 14 dan 15 hari bulan.

#3- Terus Membaca Dan Mendalami Al-Quran

Jika pada Ramadan yang lalu kita dekat dengan Al-Quran, berlumba-lumba membaca dan menghabiskan satu mushaf Al-Quran, maka apa kata kita bawa semangat itu ke bulan-bulan seterusnya.

Teruslah membaca Al-Quran dan mendalami maknanya. Usah ditinggalkan begitu sahaja. Belum tentu kita akan bertemu dengan bulan Al-Quran semula pada tahun hadapan. Jika tidak mampu serajin dahulu, lazimi jua walau hanya semuka setiap hari.

#4- Menunaikan Solat Malam

Setelah Ramadan berlalu, kita tidak lagi akan bangun seawal 4 pagi untuk bersahur. Jika dahulu kita berpeluang untuk solat sunat beberapa rakaat sementara menunggu waktu Subuh, kini usaha giat perlu dilakukan untuk terus melazimi amalan tersebut.

Pastikan anda tidur awal dan kunci jam pada telefon pintar untuk mudah bangun.

#5- Bersedekah

“Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku, dan Aku yang akan membalasnya…” (Sahih Muslim)

Menurut Dr Rozaimi, hadis ini bersifat umum dan tidak hanya dikhususkan pada bulan Ramadan sahaja. Bermakna seseorang itu boleh melakukan apa jua amal kebaikan dan akan digandakan pahalanya sesuai dengan amalannya.

Amalan sedekah pula sudah pasti termasuk dalam kategori ini. Sedekah bukan hanya dianjurkan pada bulan Ramadan malah pada bulan-bulan lain juga. Keutamaan sedekah banyak disebutkan dalam hadis-hadis seperti mampu menjemput keberkatan dalam harta, serta diajauhkan daripada api neraka.

Itulah beberapa amal yang masih boleh dilakukan selepas berlalunya Ramadan. Sama-sama kita berdoa kepada Allah agar terus dikurniakan istiqamah dengan amalan-amalan yang telah dilakukan pada bulan Ramadan.

Rasulullah SAW apabila ditanya oleh Saidatina Aisyah tentang kegigihannya bersolat sehingga bengkak kaki, baginda menjawab,

أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا

“Tidakkah aku senang menjadi hamba yang bersyukur?”

Mari kita menjadi mukmin yang beramal bukan hanya kerana kemeriahan suasana dan keadaan sahaja tetapi kerana rasa kerdil diri sebagai seorang hamba. InsyaAllah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami