Site icon Tazkirah

Hukum Membaca Al-Quran Tanpa Memakai Tudung Bagi Wanita

Al-Quran adalah mukjizat Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bulan Ramadan. Terkandung didalamnya kisah-kisah umat nabi terdahulu, pesanan kehidupan, hukum-hakam, penawar kesembuhan serta 1001 lagi khazanah berharga.

Namun apa yang paling agung adalah kerana ia merupakan kalam Allah sendiri buat hamba-hambaNya. Betapa manusia menjadi makhluk yang dimuliakan kerana mampu membaca kalamNya serta memahami rahsia yang terkandung di sebaliknya.

Sebagaimana Al-Quran dimuliakan kerana kandungan, maka adab-adab juga perlu dijaga apabila ingin membaca Al-Quran contohnya menutup aurat dan mengambil wuduk.

Namun, ada kalanya kita ingin membaca Al-Quran bukan hanya selepas solat – mungkin ketika berehat atau menunggu waktu berbuka puasa. Adakah pada waktu ini juga seseorang perlu menutup aurat? Contohnya memakai tudung bagi wanita dan tidak memakai seluar pendek bagi lelaki.

Secara asalnya hukum membaca Al-Quran dalam keadaan tidak menutup aurat ialah harus. Hal ini kerana tidak terdapat mana-mana dalil yang menyatakan hal tersebut.

Walaupun hukumnya harus, namun membaca Al-Quran memiliki adabnya iaitu menutup aurat dengan sempurna. Bacaan Al-Quran dalam keadaan dan cara terbaik juga adalah cara seseorang itu mengagungkan syiar Allah, seterusnya menjadi bukti ketakwaan bagi dirinya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Hajj, ayat 32 yang bermaksud:

“Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (Surah Al-Hajj 22:32)

Malah Al-Hakim Al-Tirmidzi menyebut dalam kitab Nawadir al-Usul, bahawa antara cara menghormati dan mengagungkan al-Quran adalah berpakaian seperti ketika bertemu raja untuk memohon suatu permintaan.

Ringkasnya, membaca Al-Quran adalah syiar (tanda atau simbol) agama yang perlu sentiasa dihidupkan, dan hal ini perlu dilakukan dengan sebaik-baik cara. Besarnya mukjizat Al-Quran apabila ia akan didatangkan pada hari akhirat sebagai syafaat buat orang-orang yang membaca, memahami dan mengamalkannya ketika di dunia. Semoga usaha kecil kita dalam memuliakan Al-Quran disukai Allah.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

Exit mobile version