Keluarga

Pada Umur Berapa Kanak-Kanak Perlu Dididik Supaya Berpuasa?

Oleh Natirah Azira  •  22 May 2020  •  3 min baca

Saya sempat melihat telatah anak-anak buah melalui pengalaman berpuasa pada tahun ini apabila kami sekeluarga berkampung di rumah emak dan ayah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang sudah besar dan bersekolah tidak ada masalah untuk berpuasa penuh. Yang kecil lah banyak kerenahnya. Kadang-kadang ‘bersahur’ pada pukul 8 pagi. Ada pula yang kerap ‘tersalah’ minum air di dapur. Itu belum dikira ada yang berkali-kali bertanya bila-nak-berbuka? Saya hanya tersenyum melihat telatah mereka.

Ibu bapa mereka tidak memaksa, namun mereka sendiri yang ingin berpuasa apabila melihat orang di sekeliling berpuasa. Jadi syarat berpuasa dilonggarkan mengikut kemampuan mereka yang masih kecil. Kadang-kadang mereka mula ‘bersahur’ pada pukul 8 atau 9 pagi a.k.a ‘sarapan’. Kadang-kadang apabila mereka merengek kepenatan, maka mereka dibenarkan berbuka atau berpuasa ‘separuh hari’ sahaja.

Sebenarnya pada umur berapakah kanak-kanak perlu diajar berpuasa?

Para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa. Tidak ada taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak untuk berpuasa sehingga dia baligh.

Saidina Ali bin Abi Tolib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras. (Sunan Abi Dawud,no. 4402)

Namun jika ingin mula mendidik kanak-kanak berpuasa, bolehlah dimulakan ketika umur mereka menginjak 7 tahun.

Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr Muhamad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawal umur tujuh tahun, dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur 10 tahun jika enggan.

Perkara ini diqiaskan kepada suruhan mendidik anak-anak solat yang boleh dimulakan ketika mereka berusia tujuh tahun.

مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا

Maksudnya: “Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).” [(Sunan Abi Dawud, no. 494 – Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 38 dan Fiqh al-Siyam hlm. 23)]

Adakah puasa mereka sah?

Bagi kanak-kanak yang telah mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk), maka puasa mereka tetap sah.

Kesimpulannya, mendidik dan melatih anak-anak berpuasa sejak kecil adalah perkara yang baik. Namun, ia perlu dilakukan dengan kadar yang sesuai dengan kemampuan anak itu sendiri.

Secara peribadinya, saya lebih suka jika kita menekankan dahulu kepada pemahaman tentang puasa itu sendiri berbanding menyuruh begitu sahaja. Ceritakan dahulu kepada anak-anak tentang makna dan sebab di sebalik puasa itu sendiri supaya pemahaman dan keyakinan mereka terhadap rukun Islam keempat ini lebih kukuh di jiwa.

Wallahu’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami