Site icon Tazkirah

Rahsia Mengapa Pahala Amalan Di Bulan Ramadan Digandakan

Ramadan umpama tanah barakah yang jika ditanam biji benih padanya akan bercambahlah ia menumbuhkan pohon yang nun tinggi mencecah langit. Kemudian pohon yang rimbun ini mempunyai dahan bercabang yang sangat banyak, yang menghasilkan pula buah-buahan yang sangat lebat. Redup rimbunnya menaungi sesiapa yang berada di bawah.

Itulah perumpamaan atau gambaran yang akan saya bayangkan jika ditanya – Ramadan itu seperti apa?

Apa tidaknya, dalam bulan mulia ini lah, Allah menyediakan pahala yang berganda banyaknya buat para pengusaha amal soleh. Bayangkan, Allah menyebutkan dalam hadis sahih bahawa setiap amal anak Adam itu akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda!

Kita pasti tercengang jika memikirkan ganjaran ini dalam bentuk nilai dunia. Namun, ia mudah sahaja bagi Allah kerana Dia Maha Ghaniy (Maha Kaya). Namun, mungkin sebagai manusia yang sentiasa ada rasa ingin tahu, kita akan tertanya mengapa Allah sebegitu pemurah menggandakan pahala pada bulan Ramadan ini.

Disebutkan oleh ilmuwan bahawa Allah SWT melipatgandakan pahala seseorang kerana beberapa sebab:

#1- Kemuliaan Daripada Sudut Tempat Seseorang Itu Melakukan Amal Ibadat

Contohnya seperti melakukan ibadah di tempat-tempat yang mulia dan diberkati seperti Masjidil Haram di Mekah dan Masjid al-Nabawi di Madinah. Orang yang bersolat di sana akan mendapat ganjaran yang lebih besar berbanding solat di masjid-masjid lain.

Rasulullah SAW bersabda:

صَلاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاةٍ فِيمَا سِوَاهُ؛ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjid aku ini (Masjid al-Nabawi) adalah lebih baik daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram.(Riwayat al-Bukhari, no.1133)

#2- Kemuliaan Daripada Sudut Masa Sesuatu Amalan Itu Dilakukan

Kategori kedua ini seperti amal ibadat di bulan-bulan yang dimuliakan atau pada tarikh-tarikh tertentu – seperti di bulan Ramadan, berpuasa enam di bulan Syawal atau Hari Asyura.

Diceritakan dalam sebuah hadis bahawa puasa pada hari Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu manakala pahala mengerjakan umrah dalam bulan Ramadan sama pula dengan pahala mengerjakan haji.

#3- Kemuliaan Daripada Sudut Orang Yang Melaksanakan Ibadah Dengan Ketakwaan dan Ketinggian Kedudukannya Di Sisi Allah

Allah SWT telah melebihkan umat Nabi Muhammad SAW berbanding umat-umat lain sebelumnya. Caranya adalah Allah akan melipatgandakan setiap amalan yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad SAW khusus buat mereka.

“Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku, dan Aku yang akan membalasnya…” (Sahih Muslim)

Kesimpulan

Justeru, dapat disimpulkan bahawa kelebihan dan ganjaran berlipat kali ganda yang disediakan dalam bulan Ramadan ialah kerana ia bulan yang dimuliakan oleh Allah. Terkandung di dalamnya peristiwa-peristiwa besar dan bermakna seperti Nuzul Quran (penurunan Al-Quran), pembukaan Kota Mekah serta terdapat juga satu malam yang dimuliakan melebihi 1000 bulan.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan

Exit mobile version