Oleh Natirah Azira • 20 May 2020 • 3 min baca
Pahala dan dosa adalah dua perkara yang akan dibicarakan apabila kita menyentuh soal amal. Ia ibarat mata wang akhirat yang akan menentukan untung-rugi kita di sana kelak. Di sini kita mengumpulnya melalui amal dan kita bakal melihatnya nanti pada hari perhitungan – timbangan manakah yang lebih ‘berat’.
Bulan puasa pula dikenali sebagai lubuk pahala. Kita melakukan rukun-rukun Islam yang besar dalam bulan yang sama – solat, berpuasa dan juga menunaikan zakat.
Di samping amalan-amalan yang wajib ini, kita diseru pula memperbanyakkan amalan sunnah bagi meraih pahala berganda yang disediakan. Contohnya membaca Al-Quran, bersedekah, dan bertarawih pada waktu malam.
Masyhur sebuah hadis yang dikatakan berasal dari Riwayat Muslim yang ada menyebut bahawa selain pahala yang dilipatgandakan, amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan juga menyamai amalan wajib yang dilakukan di luar Ramadan.
“Dalam bulan biasa, pahala setiap kebajikan dilipatgandakan 10 kali lipat, namun dalam bulan Ramadan pahala amalan wajib dilipatgandakan 70 kali lipat dan amalan yang sunah disamakan dengan pahala amalan wajib di luar Ramadan” (Hadis Riwayat Muslim)
Walau bagaimanapun, kupasan serta komen daripada ilmuwan hadis mengatakan bahawa hadis ini sebenarnya tidak wujud dalam Kitab Sahih Muslim. Tidak ada hadis yang menjelaskan bahawa amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan disamakan dengan amalan wajib di luar bulan mulia ini.
Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar mengulas hadis ini dengan memberi keterangan sebagaimana berikut:
“Hadis ini berputar pada seorang perawi bernama Ali bin Zaid bin Jada’an, dia dhaif. Sementara Yusuf bin Ziyad yang meriwayatkan dari Ali bin Zaid, sangat dhaif. Sanad lain yang menyertai dari Iyas bin Abdil Ghaffar dari Ali bin Zaid seperti yang diriwayatkan Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Namun al-Hafidz Ibu Hajar mengatakan, “Tentang Iyas, saya tidak tahu.” (Jam’ul Jawami’, no. 711)
Riwayat ini yang mengatakan bahawa pahala melakukan amalan sunat pada bulan Ramadan sama dengan amalan wajib di luar Ramadan sebenarnya berasal daripada satu lagi hadis dhaif yang lain – berkenaan Ramadan terbahagi kepada tiga bahagian (rahmah, pengampunan dan bebas daripada api neraka). Potongan hadis tersebut adalah seperti di bawah.
“…barangsiapa pada bulan itu mendekatkan diri (kepada Allah) dengan satu kebaikan, ia seolah-olah mengerjakan satu ibadah wajib pada bulan yang lain. Barangsiapa mengerjakan satu perbuatan wajib, ia seolah-olah mengerjakan 70 kebaikan di bulan yang lain…” (Baca: Betulkah Hadis Ramadan Terbahagi Kepada 3 Bahagian)
Walau bagaimanapun, berkenaan pahala yang dilipatgandakan pada bulan Ramadan, memang ada dalil sahih yang boleh dirujuk.
“Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku, dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat, dan makannya kerana Aku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan: 1- Kegembiraan ketika berbuka puasa dan 2- Kegembiraan ketika bertemu tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi.” (Sahih Muslim)
Tuntasnya, tidak salah untuk kita beramal namun yang lebih penting adalah mempunyai kefahaman dalam beramal. Penting untuk mengkaji dan mencari tahu dengan lebih mendalam supaya amalan yang kita dilakukan itu didasari ilmu yang benar. Semoga usaha kita untuk memahami agama ini diberi kemudahan oleh Allah.
Rujukan:
KonsultasiSyariah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.