Oleh Natirah Azira • 20 May 2020 • 4 min baca
Lazimnya, menjelang sahaja penghujung Ramadan atau sebaik masuk 1 Syawal pada malam raya, kita akan diingatkan dengan kewajipan membayar Zakat Fitrah.
Selepas sahaja terbenam matahari pada akhir Ramadan, maka bermulalah waktu wajib untuk membayar zakat fitrah. Manakala pada waktu pagi sebelum menunaikan Solat Hari Raya Aidilfitri pula adalah waktu yang afdhal untuk membayarnya.
Namun, mari kita fikirkan sejenak, apa agaknya hikmah yang ada di sebalik pembayaran zakat yang dilakukan saban tahun ini.
“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka itu hanya dianggap sebagai sedekah di antara berbagai sedekah.” (HR. Abu Daud, no. 1609; Ibnu Majah, no. 1827. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan – Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan)
Hikmah pertama yang sudah umum kita ketahui, adalah bagi memberi makan kepada golongan fakir dan miskin. Daripada duit zakat yang terkumpul, maka pihak zakat akan memperuntukkan sejumlah sumbangan dalam bentuk wang dan juga makanan kepada mereka. Wang ini lah yang dapat menampung keperluan hidup mereka serta menggembirakan mereka di hari raya.
Kita memang sudah menunaikan puasa penuh di bulan Ramadan, tanpa meninggalkannya dengan sengaja walau sehari. Namun dalam hari-hari tersebut, kita sudah tentu tidak lekang daripada melakukan dosa dan kesalahan sama ada melalui perbuatan atau percakapan.
Disebutkan secara jelas dalam hadis di atas bahawa zakat fitrah itu tujuannya untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada dosa lisan seperti mengeluarkan kata-kata yang buruk dan keji. Zakatlah yang dapat menampal semula kekurangan puasa yang telah dilaksanakan.
Zakat juga adalah tanda syukur kita kepada Allah kerana telah sempurnanya Ramadan, serta kelancaran yang telah Allah berikan dalam menunaikan puasa. Orang yang bersyukur juga adalah orang yang sedar bahawa rezekinya cukup meskipun dia mengeluarkan sejumlah wang untuk memberi zakat kepada mereka yang memerlukan.
Zakat sendiri bermaksud bersih, suci, subur dan berkat. Justeru, orang yang mengeluarkan sebahagian harta untuk berzakat sudah membersihkan harta yang ia miliki. Perbuatan ini juga akan mendatangkan keberkatan dalam rezeki.
“Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), agar dengan demikian akan membersihkan (harta) dan mensucikan (hati) mereka serta doakanlah mereka, kerana doamu itu akan membawa ketenangan untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui”. (Surah At-Taubah 9:103)
Kita mengetahui bahawa zakat diperuntukkan bukan hanya untuk orang fakir dan miskin sahaja, malah turut diberikan kepada golongan asnaf yang lain, seperti orang yang memiliki masalah dan bebanan hutang, golongan muallaf dan juga golongan yang berusaha memenuhi kepentingan umum (masyarakat).
Contoh paling dekat ketika ini yang kita lihat adalah kebajikan dan keperluan petugas-petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus melawan Covid-19. Lembaga Zakat Selangor telah mengeluarkan sejumlah peruntukan buat mereka bagi menangani masalah yang ada. Jika kita memahami bahawa inilah kepentingan zakat, maka sudah tentu ia dapat memupuk kesatuan hati untuk terus menunaikan tanggungjawab zakat ini.
Zakat adalah tanggungjawab bagi setiap individu untuk disempurnakan. Sesudah kita membayar zakat fitrah, secara automatik kita akan berasa lapang dan tenang. Sebaliknya jika kita tidak membayarnya, pasti akan timbul rasa tidak tenang kerana adanya kewajipan yang telah diingkari.
Usah dipandang ringan akan kewajipan zakat fitrah yang telah ditetapkan ke atas diri kita. Nilainya mungkin tidak seberapa. Kita barangkali berfikir, jika kita seorang sahaja yang tidak membayar, maka tidak akan terjejas apa-apa. ‘
Namun, fahamilah bahawa zakat bukan terletak pada nilai kecil atau besar, tetapi pada rasa tanggungjawab serta bukti ketaatan kita kepada Allah jua.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.