Doa adalah ikatan yang menghubungkan antara seorang hamba dan Tuhan. Doa juga menggambarkan pengharapan kita sebagai insan yang lemah dan memerlukan sesuatu daripada Allah Yang Maha Kuasa Memberikan.
Sesuai dengan fasa-fasa akhir Ramadan yang terkandung malam yang paling mulia iaitu Lailatul Qadar, doa seharusnya lebih diperbanyakkan – di dalam solat, selepas solat, sewaktu sahur, sebelum berbuka malah jika boleh setiap masa hati kecil kita perlu sentiasa meminta.
Saidatina Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW – “Jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, lantas apa doa yang mesti aku ucapkan?”
Lalu jawab Rasulullah SAW, berdoalah dengan membaca:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى
(Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni)
Maksud: “Ya Allah, Engkau Maha Memberikan Maaf dan Engkau suka memberikan maaf (menghapus kesalahan), oleh itu maafkanlah aku”
Maksud kalimah “innaka ‘afuwwun” di sini adalah Tuhan yang banyak memberikan maaf. Bermakna Allah sangat suka mendengar hambaNya meminta dan berharap padaNya. Amat mudah juga bagi Allah memberikan kemaafan kepada hamba-hambaNya yang benar-benar mahu disucikan dari dosa.
Dalam membicarakan doa di atas, Ibnu Rejab memberikan penjelasan yang sangat mendalam maknanya:
“Sesungguhnya perintah memohon al-‘afwu pada malam lailatul qadar setelah kita bersungguh-sungguh beramal di dalamnya dan di sepuluh hari terakhir Ramadan – ini semua agar kita tahu bahwa orang yang arif (bijak) ketika sungguh-sungguh dalam beramal kemudian ia tidak melihat amalan yang ia lakukan itu sempurna dari sisi amalan, keadaan, maupun ucapan. Kerana itu, ia meminta kepada Allah al-‘afwu (keampunan) seperti keadaan seseorang yang berbuat dosa dan merasa penuh kekurangan.” (Dipetik daripada Rencana ‘Doa Malam Lailatul Qadar’ di Rumaysho.com)
Anjuran memohon maaf ini sentiasa disebut oleh Allah dalam firmanNya hatta sewaktu perang atau ketika mendapat nikmat kemenangan daripada Allah, seperti yang terabadi dalam Surah An-Nasr ini.
“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.” (Surah An-Nashr 110:1-3)
Amalan istighfar serta memohon maaf adalah resam kelaziman orang yang beriman. Ia bukan hanya perlu dilakukan ketika melakukan dosa malah ketika mendapat nikmat daripada Allah, lebih-lebih lagi di malam Lailatul Qadar – di mana doa pasti akan didengari dan diterima oleh Allah.

