Apabila belajar mengenai zakat, terdapat sebuah kisah yang popular dan sering diperdengarkan bagi menunjukkan bahaya yang akan menimpa buat mereka yang enggan membayar zakat.
Kisahnya adalah mengenai Tha’labah yang meminta Baginda mendoakan agar beliau diberi kekayaan. Namun, apabila sudah kaya dan diarahkan untuk membayar zakat, beliau enggan. Kisahnya berbunyi begini:
Telah datang Tha’labah bin Hatib Al-Ansari kepada Rasulullah SAW, beliau berkata: “Wahai Rasulullah SAW, doakan aku agar Allah mengurniakan aku harta.” Maka, Baginda SAW menjawab: “Celakalah engkau wahai Tha’labah, sedikit membawa kesyukuran kepada Allah lebih baik daripada banyak yang engkau tidak mampu.”
Setelah beberapa tempoh, beliau datang lagi kepada Rasulullah SAW dan mengulang benda yang sama. Maka, Rasulullah SAW mendoakan baginya agar Allah SWT memberinya harta. Setelah itu, turunnya ayat Al-Quran daripada surah At-Taubah yang bermaksud:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah At-Taubah, 9:103)
Apabila turunnya ayat ini, Baginda SAW kemudian mengarahkan seorang lekaki dari Al-Ansar dan seorang lagi dari Bani Sulaim dengan memberikan catatan berkaitan zakat itu kepada mereka. Di samping itu, Nabi SAW meminta dua lelaki tersebut untuk meminta daripada Tha’labah sebahagian hartanya untuk disedekahkan. Kedua lelaki tersebut melaksanakan perintah Baginda itu dengan bertemu Tha’labah.
Walau bagaimanapun, Tha’labah enggan mengeluarkan sebahagian hartanya untuk dizakatkan dan mengatakan bahawa ia adalah jizyah. Mereka berdua kemudian bertemu Rasulullah dan menceritakan kepada Baginda akan peristiwa tersebut. Kemudian, turunlah ayat lain berkenaan peristiwa itu;
Mafhum: “Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata; “Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah At-Taubah, 9:75)
Kemudian, apabila turunnya ayat tersebut, seorang daripada dua lelaki tadi telah datang menemui Tha’labah dan memberitahu beliau bahawa: “Allah telah menurunkan ayat di atas keengganan engkau membayar zakat, maka celakalah engkau wahai Tha’labah.”
Apabila mendengar kata-kata tersebut, Tha’labah terus berjumpa Rasulullah untuk membayar zakat tetapi Baginda enggan menerimanya. Setelah Baginda wafat, Tha’labah bertemu dengan Abu Bakar yang merupakan khalifah pada waktu itu untuk membayar zakat tetapi beliau juga menolaknya. Begitu juga apabila tiba pada zaman Saidina Umar dan Uthman yang menjadi khalifah, kedua-dua mereka menolaknya. Kemudian, meninggallah Tha’labah dalam keadaan tidak membayar zakat.” (Tafsir Al-Thabari, no. 169867)
Antara yang meriwayatkan kisah ini ialah At-Tabarani dalam Al-Mu’jam al-Kabir (8/218). Tha’labah yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Tha’labah bin Hatib Al-Ansari. Riwayat ini diceritakan oleh Sa’id bin Jubair dann Abi Qatadah.
Beliau diriwayatkan pernah menyertai beberapa peperangan besar bersama Rasulullah SAW, iaitu Perang badar dan Uhud. Tha’labah juga merupakan seorang sahabat yang bersifat adil dan tidak menipu.
Berkenaan kewafatan beliau, ada riwayat yang mengatakan bahawa beliau telah wafat pada zaman pemerintahan Saidina Umar. Manakala, riwayat lain menyebut bahawa beliau wafat pada zaman pemerintahan Uthman.
Walau bagaimanapun, kisah ini sebenarnya adalah kisah yang palsu. Al-Iraqi mengatakan – “Diriwayatkan oleh At-Tabarani dengan sanad yang dhaif.”
Imam Al-Qurtubi berkata – “Tha’labah ialah salah seorang yang menyertai peperangan Badar dan beliau juga antara orang yang telah diakui keimanannya sebagaimana yang termaktub di dalam hadis. Untuk itu, apa yang diriwayatkan dalam hadis ini adalah tidak sahih.”
Imam Ibnu Hazim pula berpendapat bahawa kisah ini adalah batil. Begitu juga dengan Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar yang setuju bahawa ia adalah kisah yang tidak benar.
Justeru, melihat kepada perbahasan ulama berkenaan kisah ini, ia adalah kisah yang tidak sahih dan batil. Namun, disebabkan ia sering disebarluaskan, kisah ini sering menjadi titik tolak kepada azab buat mereka yang enggan membayar zakat.
Sedangkan, terdapat beberapa dalil dan hadis sahih yang telah Baginda SAW ajarkan kepada kita akan keenganan membayar zakat, seperti;
Maksud: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: “Akulah hartamu! Akulah simpananmu!” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1338)
Wallahu a’alam.
Sumber:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.