Zakat fitrah telah mula difardukan pada tahun kedua hijriah, iaitu pada tahun yang sama difardukan kewajipan puasa Ramadan.
Zakat dari segi bahasa membawa maksud bersih, suci, subur dan berkembang. Manakala, dari segi istilahnya bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Mafhum: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Surah Al-Baqarah, 2:43)
Hukum mengeluarkan zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkan pada waktunya.
Zakat fitrah perlu dibayar berdasarkan tempat seseorang itu berada apabila masuknya waktu wajib membayar zakat fitrah, iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai kepada solat sunat hari raya.
Namun, apabila diteliti kepada keadaan semasa dan amalan para sahabat, waktu pembayaran zakat fitrah elok diawalkan sedikit sama ada satu atau dua hari.
Justeru, jika seseorang itu bekerja di Kuala Lumpur dan bakal pulang ke kampung halamannya di Johor, maka lebih elok baginya untuk membayar di tempat kerjanya, iaitu Kuala Lumpur.
Walaupun individu tersebut telah niat untuk pulang hari raya di Johor, namun ia masih lagi dalam bentuk sangkaan (dzan) sama ada ia akan berlaku atau tidak.
Adapun, tidak menjadi masalah jika seseorang itu ingin menunaikan zakat fitrah di Johor, asalkan masih lagi tidak melepasi waktu pembayaran zakat fitrah.
Begitu juga dengan mereka yang telah melanjutkan pelajaran di luar negara dan pulang pada pertengahan Ramadan untuk menyambut Syawal di negara asalnya, maka pelajar itu boleh memilih sama ada untuk membayar zakat di negara asalnya atau tempat dia belajar tersebut.
Apa yang penting ialah kewajipan membayar zakat bermula di tempat dia menyambut malam raya. Maka, pembayaran zakat fitrah sepanjang dia berpuasa di negara tempatnya belajar hanyalah harus hukumnya.
Imam Nawawi RA juga ada berkata:
Maksud: “Jika seseorang itu sewaktu zakat fitrah wajib (ke atasnya) berada di sesebuah negeri, manakala hartanya berada di negeri lain, maka negeri mana satukah yang diambil kira ketika membayar zakat fitrah?”
Terdapat dua pandangan yang dikemukakan – Salah satunya ialah mengambil kira tempat di mana harta itu berada sama seperti zakat harta yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada.”
Pendapat yang paling sahih ialah mengambil kira negeri tempat di mana empunya harta berada. Antara ulama yang mensahihkan pendapat ini ialah pengarang Imam Asy-Syirazi dalam kitabnya at-Tanbih, Al-Jurjani dalam kitabnya At-Tahrir, Al-Ghazali, Al-Baghawi dan lain-lain.
Dalam isu ini, pembayaran zakat fitrah lebih awal adalah digalakkan dan bergantung kepada keberadaan seseorang muslim itu pada masa masuknya waktu untuk pembayaran zakat fitrah.
Pembayaran lebih awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan baik dan untuk mengelakkan daripada terlupa atau sebarang perkara yang tidak diingini.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
MAIWP
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.