Apa khabar pengunjung Tzkrh semua!
Alhamdulillah kita telah menapak ke hari 21 Ramadan. Harapnya semangat kita terus memuncak untuk mencari lailatul Qadar, satu-satunya malam istimewa yang mana jika seseorang beramal pada malam itu, maka ia lebih baik daripada 1000 bulan.
Inilah malam paling mulia di mana kitab Al Quran diturunkan daripada Luh Mahfuz ke langit dunia, kemudian barulah diturunkan secara berperingkat kepada Nabi SAW.
Mengapa kita sangat digesa untuk memaknakan 10 hari terakhir Ramadan?
Hal ini kerana, jika kita beribadah setiap saat sekalipun, belum tentu separuh daripada usia kita ini akan terisi dengan ibadah. Maka Allah datangkan tawaran dalam satu malam untuk kita rebut ganjaran berganda hebatnya.
Jika Nabi SAW sendiri yang sudah maksum serta dijanjikan syurga pun memperbanyakkan amal sepanjang 10 malam terakhir, apatah lagi kita yang banyak melakukan dosa.
Akhir sekali, usah hanya memilih-milih malam tertentu sahaja untuk melakukan amalan kerana kita orang yang sangat memerlukan jaminan keampunan daripada Allah.
Dirahsiakan lailatul Qadar itu hikmahnya supaya kita tidak meringan-ringankan ibadah dan beramal seikhlas mungkin.
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk terus istiqamah mencari redhaNya.

