Oleh Natirah Azira • 14 May 2020 • 2 min baca
Zakat Fitrah adalah satu bentuk sedekah yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim. Ia terdiri daripada kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadan, dengan syarat-syarat tertentu.
Diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas setiap manusia sebanyak satu gantang dari tamar dan gantang gandum (makanan asasi) bagi setiap yang merdeka atau hamba lelaki mahupun perempuan.” (Riwayat Imam Muslim, no.984)
1. Islam
2. Waktu – iaitu selepas Maghrib hari terakhir Ramadan sehingga terbit matahari 1 Syawal (Waktu wajib)
3. Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya dia mampu selepas waktu wajib tersebut, maka tidak diwajibkan.
Untuk lebih jelas, orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
– Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
– Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
– Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.
– Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari akhir Ramadan.
Secara ringkasnya, apabila cukup syarat-syarat tersebut, seseorang itu wajib membayar zakat fitrah.
Bagi kanak-kanak yang masih berada di bawah tanggungan ibu bapa atau penjaga, maka ibu bapa atau penjaganya lah yang perlu membayar zakat fitrah buat kanak-kanak tersebut. Namun jika kanak-kanak tersebut memiliki harta atau simpanan, boleh juga diambil daripada harta itu.
Bagaimana pula dengan isu membayar zakat fitrah buat orang lain yang tiada pertalian darah?
Ia dibolehkan namun perlu terlebih dahulu memaklumkan dan mendapatkan keizinan daripada orang tersebut. Jika tidak, pembayaran zakat fitrah tersebut tidak sah kerana zakat merupakan satu bentuk ibadah yang dipertanggungjawabkan ke atas diri setiap individu.
Seseorang itu digalakkan menunaikan zakat fitrah ke atas dirinya dahulu, kemudian tanggungannya yang tidak berkemampuan barulah untuk orang lain.
Ia bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah RA:
Maksudnya: “Sebaik-baik sedekah adalah selepas mencukupi keperluan, dan mulailah daripada orang-orang yang berada dibawah tanggunganmu” (Hadis Riwayat Imam Bukhari, no.1426)
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.