Kita sering mendengar kelebihan bulan Ramadan yang disebut-sebut kerana di dalamnya terdapat pelbagai rahmat dan peristiwa besar yang berlaku.
Kita berpuasa wajib, melakukan solat sunat Tarawih juga merupakan bulan turunnya Al-Quran dan terjadi beberapa lagi perang besar di dalamnya. Ia adalah untuk membuktikan kepada kita semua bahawa sebelum kita memasuki bulan kemenangan, iaitu Syawal, kita mestilah berjuang melawan perang nafsu sendiri di bulan Ramadan.
Bahkan, terdapat beberapa dalil sama ada daripada Al-Quran mahupun hadis yang menyebut mengenai kelebihan bulan Ramadan ini untuk membuktikan kepada kita bahawa ia adalah bulan yang terkandung seribu satu rahmat.
Namun, dalam masa yang sama kita perlu berhati-hati dengan periwayatan hadis yang lemah atau palsu yang muncul secara melebih-lebih dalam menggambarkan kelebihan Ramadan sedangkan ia tidak tepat.
Antara hadis yang terkenal ialah bulan Ramadan merupakan bulan yang paling baik buat umat Islam dan bulan yang paling buruk buat golongan bukan Islam.
Maksud: “Tidak ada bulan yang datang kepada kaum muslimin yang lebih baik daripada Ramadan dan tidak datang kepada kaum munafiqin bulan yang lebih buruk daripada bulan Ramadan.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad RA (2/330), Fathurrabbani (9/231-232) dan Ibnu Khuzaimah (no. 1884) melalui jalur periwayatan Katsir bin Zaid RA dari Amr bin Tamim dari bapanya dari Abu Hurairah.
Walau bagaimanapun, Melalui kitab Majma’uz Zawaid (3/140-141), Imam Al-Haitsami RA mengatakan bahawa hadis ini ialah daif (lemah) kerana perawi Amr bin Tamim bersifat majhul.
Majhul merupakan seorang perawi yang tidak dikenali atau diketahui akan keperibadiannya. Mana-mana hadis yang pada sanadnya terdapat periwayat yang tidak dikenali langsung namanya atau namanya diketahui tetapi keadaan periwayat tersebut tidak diketahui, maka ia adalah bersifat majhul.
Melalui kitab Mizanul I’tidal (3/249), Adz Zahabi RA berkata – “Amr bin Amir bin Tamim dari bapanya Abu Hurairah RA mengenai keutamaan bulan Ramadan. Dan dari Amr, hadis ini diriwayatkan oleh Katsir bin Zaid. Tentang Amr bin Tamim, Imam Bukhari RA berkata bahawa hadisnya perlu diteliti (fi haditsihi nazhar) – perawinya bertaraf lemah.”
Tuntasnya, hadis masyhur yang sering kita dengar di atas merupakan sebuah hadis daif. Hakikatnya, setiap bulan merupakan bulan yang terbaik untuk umat Islam melakukan amal dan merebut ganjaran pahala.
Namun, bulan Ramadan ditambah keistimewaannya kerana banyak peristiwa bersejarah yang berlaku dan untuk menguji manusia berperang dengan hawa nafsunya sendiri sebelum menyambut bulan kemenangan.
Maksud: “Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan iman dan mengharapkan pahala, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 0805)
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Hadis Lemah dan Palsu Tentang Ramadan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.