Site icon Tazkirah

#CelikRamadan – Akibat Tinggal Puasa Dengan Sengaja

Puasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam ketiga yang akan ditunaikan setahun sekali dan umat Islam wajib berpuasa selama kira-kira 30 hari.

Namun begitu, masih terdapat keringanan yang diberikan kepada beberapa golongan untuk tidak berpuasa contohnya wanita yang didatangi haid dan nifas, warga tua yang uzur yang sudah tidak mampu berpuasa, wanita mengandung yang bimbang akan keselamatan diri dan anaknya, orang yang ditimpa sakit yang berat serta orang-orang yang bermusafir.

Walaupun begitu, mungkin masih ada segelintir orang yang ingkar dengan kewajipan ini dan tidak berpuasa tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak seperti yang disebutkan di atas. Dia barangkali tidak berpuasa kerana hanya malas, ingin makan dan minum atau tidak dapat mengawal diri lalu bersetubuh pada siang hari.

Apakah Hukum Bagi Golongan Ini?

Berlegar satu hadis yang ada menyatakan bahawa orang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadan, maka dia tidak boleh lagi menggantikannya walaupun berpuasa secara terus-menerus kerana puasanya tetap tidak diterima.

من أفطر يوما من رمضان من غير رخصة لم يقضه وإن صام الدهر كله

“Orang yang sengaja tidak berpuasa pada suatu hari di bulan Ramadhan, padahal ia bukan orang yang diberi keringanan, ia tidak akan dapat mengganti puasanya meski berpuasa terus menerus.”

Walau bagaimanapun ini adalah pendapat yang tidak benar malah hadis di atas dinilai dhaif oleh Al-Bukhari, Imam Ahmad, Al-Albani dan sejumlah ulama hadis yang lain.

Pendapat yang benar ialah – individu yang tidak berpuasa dengan sengaja masih diberi ruang untuk bertaubat dan wajib menggantikan semula puasa yang telah ditinggalkan.

Seseorang yang meninggalkan kewajipan puasa ini juga perlu bermuhasabah dan menyedari bahawa kesalahan yang dilakukan adalah dikira dosa besar.

Syeikh Ibnu Utsaimin RA berkata – “Membatalkan puasa Ramadan pada siang hari tanpa alasan yang kukuh dan jelas adalah dosa besar. Maka, orang tersebut dianggap fasik dan diwajibkan untuk bertaubat kepada Allah serta mengganti puasa dengan bilangan hari yang ditinggalkannya.” (Majmu’ Fatwa dan Rasa’il Ibn Utsaimin :89)

Kesalahan berbuka dengan sengaja ini sangat berat sehinggakan Mazhab Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mewajibkan kafarah dan qada’ kepada orang yang makan dan minum secara sengaja di bulan Ramadan.

Manakala Mazhab Imam Syafie dan Mazhab Imam Ahmad memegang pendirian bahawa orang yang meninggalkan puasa dengan makan dan minum secara sengaja wajib menggantikan puasa manakala yang meninggalkan puasa kerana melakukan persetubuhan pada siang hari dikenakan denda yang lebih berat iaitu kafarah serta perlu qada’ puasa tersebut.

Secara ringkasnya, orang yang meninggalkan puasa secara sengaja perlu bertaubat kepada Allah, menyesal atas perbuatan yang diharamkan tersebut, perlu menyempurnakan denda yang ditetapkan seperti kaffarah serta menggantikan semula puasa yang telah ditinggalkan.

Umum mengetahui Ramadan sarat dengan ganjaran pahala yang berganda. Jika alasan anda meninggalkan puasa kerana tidak mempedulikan sekalipun pahala yang ingin diberikan oleh Allah, sekurang-kurangnya ingatlah bahawa tujuan puasa yang paling tinggi adalah bagi mewujudkan ketakwaan dalam diri. Kemanisan iman dalam hati, itulah ganjaran yang paling bermakna. Percayalah tidak akan sia-sia pengorbanan yang dilakukan.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Muslim.or.id

Exit mobile version