Oleh Fizah Lee • 8 May 2020 • 4 min baca
Terkandas di rumah sewa anda berseorangan dek tidak sempat pulang ke kampung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari? Pasti Ramadan kali ini sedikit hiba dan sunyi buat anda.
Biasanya, awal Ramadan akan disambut bersama keluarga. Rata-rata akan mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman walaupun hanya pada hujung minggu untuk meraikan Ramadan.
Namun, kali ini lain pula suasananya. Kemunculan wabak COVID-19 membuatkan kita perlu berhati-hati dalam suasana seperti ini. Bimbang, jika tersilap langkah orang sekeliling juga yang akan merana.
Walau bagaimanapun, sama ada Ramadan disambut bersama keluarga ataupun bersendirian, hidup tetap mesti diteruskan. Ia adalah pengalaman berharga buat anda kali ini.
Jadi, bagaimana caranya untuk menghidupkan Ramadan walaupun anda bersendirian di tengah-tengah kota? Ini adalah beberapa tips yang anda boleh amalkan.
Perkara yang paling sukar apabila berseorangan ialah saat bangunnya sahur. Kadang-kadang, ramai orang bujang yang akan bangun bersahur apabila sudah berada di penghujung waktu. Itupun sekadar sempat menjamah air kosong.
Bahkan, ada sesetengahnya yang tidak sempat bersahur dan kadang-kadang sehingga terlepas Subuh. Perkara seperti inilah yang perlu dielakkan.
Tetapkan jam penggera anda setiap hari. Jika malas bangun untuk masak sekalipun, sekurang-kurangnya biarlah sempat menjamah kurma dan hidangan ringan lain seperti roti.
Dalam sahur itu sendiri terdapat keberkatan. Salah satunya ialah ia mampu membekalkan tenaga sepanjang hari buat anda untuk menghadapi puasa.
Jadi, niatkan di hati anda untuk bangun sahur setiap hari agar keberkatan itu sampai kepada anda.
Walaupun anda sekadar bersahur dengan makan kurma, namun jangan terus lelapkan mata selepasnya. Bimbang jika memang terus terlelap sehingga terlepas Subuh.
Ambil peluang ini untuk bermunajat seketika kepada Allah. Tidak semestinya anda perlu melakukan solat sunat Tahajud setiap hari.
Jangan dipaksa diri jika itu bukan norma anda. Sebaliknya selang-selikan ia dengan aktiviti-aktiviti lain seperti berzikir atau membaca Quran sementara menunggu Subuh.
Waktu antara sahur dan Subuh tidak mengambil masa yang lama. Jadi, saya pasti aktiviti itu mampu mmebantu anda untuk terus berjaga menunggu Subuh.
Walaupun anda bersendirian di rumah, namun pastinya mata anda memerlukan sesuatu yang sedap memandang. Jika rumah dalam keadaan yang tidak teratur atau sedikit bersepah, ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada jiwa dan mood anda.
Sebaliknya, cuba untuk mengemas rumah dan pastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih. Secara tidak langsung, anda akan berpuas hati dengan hasil kerja sendiri apabila berjaya memastikan rumah anda kemas.
Tidak perlu mop lantai setiap hari. Cukup seminggu sekali anda mop lantai, cuci tingkap dan juga kemas alatan dapur.
Tidak perlu juga dekorasi rumah anda seperti yang tular di media sosial jika anda tidak mampu atau tiada masa untuk melakukannya. Cukup sekadar pastikan sampah sarap terbuang dan pinggan mangkuk sentiasa berbasuh.
Yang penting, sedap mata anda memandang.
Walaupun anda berseorangan, namun ia tidak bermaksud dunia luar anda juga sudah terputus. Manfaatkan teknologi yang anda dan sertailah mana-mana kumpulan yang menyediakan tadarrus secara atas talian.
Yang paling mudah, anda boleh sahaja hubungi bapa anda di kampung dan ajak beliau serta ahli keluarga yang lain untuk bina tadarrus sendiri.
Walau jauh di mata, namun tetap dekat di hati. Dalam masa anda boleh khatam Al-Quran di bulan puasa ini, anda juga boleh mengubat rindu kepada mereka yang berada di kejauhan.
Banyak golongan yang pakar yang menyediakan kelas pengajian secara percuma di atas talian. Anda boleh sahaja memilih kelas mana yang diminati untuk menambah ilmu.
Tidak semestinya berfokus kepada ilmu agama semata-mata, namun anda boleh juga melihat kelas-kelas lain yang dianjurkan seperti ilmu memasak, ilmu mendekorasi rumah dan sebagainya.
Semua ilmu itu adalah milik Allah. Jadi, tidak salah untuk menuntut ilmu mana yang anda minati. Namun, dalam masa yang sama jangan diabaikan ilmu-ilmu agama seperti hukum tajwid, cara membaca Al-Quran dengan betul ataupun sirah para Anbiya’.
Setiap hari anda makan masakan sendiri, pasti terbit juga rasa bosan, bukan? Jadi, sekali-sekala apa kata belanja diri anda dengan juadah berbuka puasa dari luar.
Tidak perlu bersusah payah ke kedai untuk membelinya. Cukup sekadar menempahnya secara atas talian. Banyak platform yang telah dibina untuk memudahkan pelanggan hari ini.
Anda boleh juga sertai kumpulan di Facebook atau WhatsApp yang membuat penghantaran makanan secara terus kepada anda. Tinggal cari sahaja menu apa yang diidamkan.
Dengan ini, juadah berbuka puasa anda akan kelihatan menarik apabila ditambah dengan kuih-muih yang selalu anda beli setiap kali berkunjung ke Bazar Ramadan.
Banyak lagi cara yang menarik yang boleh dilakukan untuk menghilangkan mood bosan anda di bulan Ramadan. Anda hanya perlu praktikkan ia mengikut kreativiti anda sendiri.
Sekali-sekala, hubungi orang tersayang untuk menambah lagi semangat anda menghadapi puasa tahun ini. Jangan terus suram dan biarkan puasa anda berjalan seperti hari-hari biasa. Ia adalah sebuah kerugian yang besar buat anda. Nauzubillahi min dzalik.
Jadi, bagaimana Ramadan anda setakat ini?
Wallahu a’alam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.