Menjelang tahun baru, orang akan sibuk memperkatakan tentang azam atau target yang ingin dicapai pada tahun tersebut – ingin membina kewangan yang kukuh, ingin mencari pasangan hidup, ingin mengejar impian kerjaya yang diingini, ingin membeli kereta idaman, membeli rumah dan sebagainya.
Hal-hal di atas bukanlah suatu yang salah, namun ia lebih bersifat keduniaan. Kehidupan kita seharusnya seimbang antara kemajuan dalam perkara dunia dan juga kemajuan dalam perkara akhirat.
Justeru, pernahkan kita membina azam dalam hal-hal spiritual dan keagamaan sebagai seorang Muslim?
Adakah kita pernah berazam ingin memperbaiki solat, belajar membaca Al-Quran dan memperbetulkan bacaan, menambah pengetahuan agama, melazimi doa dan amalan tertentu sebagai penghias kehidupan harian kita?
Jika jawapan bagi soalan-soalan di atas berakhir dengan kata ‘tidak’, maka kita perlu mengusahakan sesuatu dan Ramadan inilah masa terbaik untuk kita memasang serta merealisasikan azam dalam hal-hal spiritual dan keagamaan.
Jika anda masih belum memasang apa-apa azam atau target untuk dilakukan pada bulan ini, usah risau kerana anda masih belum terlambat. Terlebih dahulu, penting untuk membetulkan mindset bahawa amalan di bulan Ramadan ini seperti anda dalam larian maraton dan bukan lari pecut.
Kita semua sedang berlari dalam jarak 30 hari dengan melakukan ibadah secara konsisten iaitu berpuasa serta melakukan amalan – amalan yang dianjurkan pada bulan Ramadan.
Kita bukan ingin semangat melakukannya hanya pada awal permulaan Ramadan sahaja malah kita ingin melakukannya sehinggalah Ramadan menutup tirainya. Malah lebih baik lagi, kita ingin terus melazimi amalan tersebut di bulan-bulan seterusnya.
Dan dalam larian maraton, sudah pasti setiap pelari berada dalam kelajuan yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing. Jadi usah bandingkan diri anda dengan orang lain yang anda lihat sudah jauh di depan. Yang penting, anda tetap berlari dengan konsisten sehinggalah ke garisan penamat.
Saya sendiri faham betapa sukarnya untuk memulakan ibadah sunat yang sudah lama kita tinggalkan, malah lebih sukar lagi jika kita tidak pernah melakukannya langsung.
Tetapi, lama atau tidak, bukanlah alasan jika kita benar-benar mahu mengubah diri dan mengusahakan sesuatu yang baru untuk manfaat diri kita sendiri. Malah amalan sedikit tetapi konsisten dan berterusan inilah yang paling dicintai Allah berbanding amalan yang besar dan banyak tetapi dilakukan jarang-jarang.
Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (HR. Bukhari, no. 6465 – Hadis Sahih)
Dan apabila Allah telah mencintai amalan serta diri seorang hamba itu, maka Allah akan lebih memudahkan dia untuk melakukannya lagi dan lagi. Seperti yang disebutkan dalam hadis Qudsi,
“Adapun jika hambaKu selalu melaksanakan perbuatan sunah, nescaya Aku akan mencintanya. Jika Aku telah mencintainya, maka (Aku) menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar, (Aku) menjadi penglihatan yang dengannya dia melihat, menjadi tangan yang dengannya dia memegang, menjadi kaki yang dengannya dia berjalan…” (Hadis Riwayat Bukhari)
Bermakna Allah akan mengangkat darjat seseorang itu lebih tinggi serta memudahkannya melakukan amal ibadah lebih lagi. Allah akan memberi taufiq petunjuk kepadanya dalam seluruh amal, ucapan, pendengaran dan penglihatannya. Malah hadis di atas diakhiri dengan janji Allah sendiri.
“…Jika dia memohon kepadaKu, nescaya akan Aku berikan dan jika dia minta ampun kepadaKu, nescaya akan Aku ampuni, dan jika dia minta perlindungan kepadaKu, nescaya akan Aku lindungi.”
Betapa pemurah bukan Allah. Pemberian dan kemurahan daripada Dia sebenarnya melangkau masa dan juga tempoh. Sesiapa sahaja yang cuba mendekati Allah dengan memelihara kewajipan fardhu malah menambah pula dengan amalan-amalan sunat, sekalipun sedikit tetapi berterusan, maka Allah akan mencintai hamba tersebut, malah menambah lagi ganjaran dengan mengabulkan doa dan permintaannya. Subhanallah.
Jadi usah bimbang wahai penghuni madrasah Ramadan sekalian, tekadkan lah azam kali ini untuk kita mengusahakan apa jua amalan dengan niat mencari redha Allah. Biar kecil dan biar sedikit – tetapi berterusan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.