Pasti anda semua tertanya-tanya bilakah aktiviti keagamaan dan berjemaah di surau serta masjid dapat dilaksanakan kembali apabila beberapa sektor ekonomi telah dibuka.
Berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengeluarkan beberapa soalan lazim yang sering menjadi tanya tanya bagi menjelaskan isu berkenaan.
#1 – Mengapakah aktiviti agama berjemaah di masjid dan surau masih dilarang dalam tempoh PKPB?
Larangan ini selaras dengan keputusan semasa kerajaan atas pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#2 – Adakah kerajaan telah mendapat nasihat daripada mufti-mufti seluruh negara?
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah dijalankan sebanyak empat kali.
Pandangan dan nasihat telah diambil daripada Ashabus Samahah Mufti-Mufti melalui mesyuarat ini.
#1 – Adakah garis panduan ibadah di masjid dan surau telah disiapkan?
Unit Penyelidikan Ilmiah, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah mempersiapkan garis panduan pelaksanaan ibadah di masjid dan surau.
Ia telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-4 pada 30 April 2020.
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah para Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia dan Ahli-Ahli Dilantik MKI dan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Wan Zahid bin Wan Teh.
#2 – Jika garis panduan telah disusun dan dibentangkan, mengapa ia masih belum dilaksanakan?
Pelaksanaan garis panduan adalah tertakluk kepada arahan Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa dan juga kebenaran dari pihak KKM serta MKN.
Berdasarkan pertimbangan pihak-pihak berwajib, kerajaan memutuskan sebarang bentuk aktiviti berjemaah di masjid dan surau adalah dilarang dalam tempoh PKPB buat masa ini.
#1 – Adakah wujud kebarangkalian ia dilaksanakan dalam waktu terdekat?
Jika kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang telah disediakan di samping mengambil kira tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat Malaysia sepanjang PKPB, maka ia boleh dilaksanakan.
Adapun, mereka juga akan mengambil kira nasihat dan pandangan dari pihak KKM dan MKN.
#2 – Apakah yang menjadi pertimbangan utama kerajaan sebelum membenarkan solat Jumaat dan lain-lain diadakan di masjid?
Kesiapsiagaan dan persediaan teknikal perlu berada di tahap optimum semua pihak, iaitu Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri.
Mereka yang merupakan badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama serta persediaan masjid dan surau berada di tahap yang terbaik merupakan antara pertimbangan yang akan diambil kira.
#3 – Siapakah pelaksana bagi garis panduan yang bakal diputuskan tersebut?
Urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.
Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Justeru, jika pelaksanaan garis panduan tersebut telah mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan, ia tetap tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa utama di negeri-negeri untuk dilaksanakan di peringkat negeri.
Ibadah serta aktiviti keagamaan di masjid dan surau akan dibuka kembali bergantung kepada sikap kita terhadap PKPB kali ini dengan mendapat nasihat dan pandangan daripada MKN dan KKM.
Justeru, sama-samalah kita untuk kekal menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing bagi.
Sumber:
Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.