Inspirasi

Penghulu Istighfar – Ganjaran Syurga Buat Pengamalnya

Oleh Natirah Azira  •  30 Apr 2020  •  3 min baca

Ramai yang berlumba-lumba untuk melakukan banyak ibadah di bulan mulia ini – bertadarus membaca Al-Quran, mendirikan Solat Tarawih, memberi makan orang berbuka dan sebagainya. Masakan tidak, Allah telah menjanjikan adanya keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Cuma, saya terfikir. Jika saya atau sesiapa yang sudah lama tidak melakukan apa-apa ibadah sunnah, saya harus bermula daripada mana?

Jika saya orang yang tidak pandai mengaji, atau masih rasa berat untuk membaca kalamNya, dari mana saya patut mulakan. Amalan mudah apa yang boleh saya lakukan?

Daripada sekalian banyak zikir yang dicadangkan, zikir apa yang perlu saya pilih untuk dilazimi?

Lalu persoalan-persoalan ini membawa saya kepada satu amalan yang mudah namun nilainya sangat besar dan bermakna.

Ia dipanggil ‘Penghulu Segala Istighfar’ atau dalam bahasa Arabnya adalah Sayyidul Istighfar.

Mengapa saya katakan ia sangat besar dan bermakna? Mari kita teliti kalimah-kalimah agung yang terkandung dalam istighfar ini dan maksudnya yang mendalam.

Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

(Allahumma anta robbi, la ilaha illa anta, kholaqtani, wa ana ‘abduka, wa ana ‘ala ‘ahdika, wa wa’dika ma-statho’tu, a’udzubika min sharri ma sona’tu, abuu-u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu-u laka bizanbi, faghfirli, fa innahu la yaghfiruz-zunuuba illa anta)

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Aku di atas perjanjianMu dan janjiMu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepadaMu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [Riwayat al-Bukhari (6306)]

Lihat, sungguh besar bukan makna yang terkandung dalam kalimah penghulu Istighfar ini. Ia ibarat kita memperbaharui semula perjanjian keimanan kita kepada Allah.

“Ya Allah, engkau adalah Rabbku, tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Engkau”

Kita mengakui dan meyakini bahawa Allah sahajalah yang kita imani dan kita persembahkan bukti keimanan dengan mentaati perintahNya.

Kita mengakui bahawa kita adalah hamba, kita mengakui bahawa antara diri kita dan Allah telah wujud perjanjian sejak di alam roh lagi.

Kita mengakui bahawa Allah telah memberikan kita banyak nikmat, dalam masa yang sama kita rendah diri mengakui bahawa kita hanyalah insan biasa yang turut melakukan dosa. Dan di penghujungnya kita memohon ampun kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Betapa bermakna bukan kalimah ini jika diamati sedalam-dalamnya. Bahkan Rasulullah SAW menyebutkan ganjaran yang sangat besar bagi orang yang sentiasa membacanya pada waktu siang dan malam.

Baginda SAW bersabda:

وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.

Subhanallah.

Hanya dengan kalimah Istighfar ini sahaja Allah sudah menyediakan ganjaran yang cukup besar. Apa lagi yang kita tunggu. Inilah amalan yang boleh menjadi permulaan dalam usaha kita beramal dan meningkatkan ketaatan kepada Allah. Semoga Allah memandu hati kita yang ingin dekat denganNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami