Oleh Fazli Abdullah • 30 Apr 2020 • 4 min baca
Setiap manusia mengimpikan kebahagiaan hidup. Ada yang mencari harta untuk menambahkan lagi rasa kebahagiaan dan keseronokan dunia. Ada juga yang terlalu taksub dengan gaya hidup barat (yang negatif) lalu dipraktikkan dalam kehidupan serta dianggap sebagai satu kemodenan dan sebagai bentuk hiburan.
Apabila dilihat semula, kita hanya sekadar tertumpu dengan aspek luaran dan langsung tidak menyentuh aspek dalaman. Soal jiwa seperti ditolak tepi dan tidak dihiraukan. Kita seperti mengkayakan jasmani tetapi memiskinkan rohani.
Kekayaan yang ada pada jasmani sudah cukup lengkap bahkan melebihi pula ditambahnya. Hinggakan yang tidak sepatutnya turut terselit menghiasi jasmani kita. Dan lagi menyedihkan pula adalah jiwa kita dibiarkan dalam keadaan miskin dan kosong tanpa pengisian yang suci.
Persoalannya bagaimana ingin memupuk jiwa yang kaya? Sebelum itu mari kita hayati hadis di bawah.
Daripada Abu Hurairah RA., Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Bukanlah kaya itu dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kekayaan itu ialah kaya jiwa.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Orang yang kaya jiwanya walau tidak banyak hartanya, dia akan merasa cukup dengan apa yang ada. Tidak mengeluh dan tidak merasa bimbang kerana hatinya yakin dengan rezeki Allah SWT. Manakala, orang yang kaya hartanya tetapi jiwanya kosong akan merasa tidak cukup walau hartanya melimpah-ruah.
Sebab itulah, hadis di atas menyebut bahawa kekayaan itu tidak terletak pada banyaknya harta tetapi kekayaan itu letaknya pada jiwa kita.
Ada sebahagian manusia yang memiliki harta yang banyak, namun dia merasa tamak dan merasa berat untuk membantu orang yang memerlukan. Hatinya terasa gusar kerana takut hartanya semakin berkurangan dan kehabisan.
Berbeza dengan orang yang kaya jiwanya, dia yakin dengan janji Allah yang setiap kebaikan yang dilakukan pasti ada ganjarannya. Tidak mendapat ganjaran di dunia pun tidak membimbangkan kerana di akhirat nanti pasti Allah akan membalas segala kebaikan yang kita lakukan.
Faham bukan mengenai jiwa yang kaya? Orang yang kaya jiwanya tidak semestinya memiliki harta yang banyak. Mereka memiliki sifat mahmudah dan menghindari sifat mazmumah. Jom jadikan jiwa kita kaya dengan melakukan amalan ini:
Mintalah dengan sepenuh hati kepada Allah SWT agar diberikan jiwa yang kaya. Sesungguhnya setiap permohonan kita yang ikhlas dan sebenar-benar pengharapan, Insha Allah akan dimakbulkanNya. Allah tidak akan mengecewakan hambaNya yang meminta dengan sepenuh keikhlasan dan dengan bersungguh-sungguh.
Redhalah dengan setiap ujian dan kejadian yang berlaku kepada kita. Yang lepas jangan ditangisi dan yang ada disyukuri. Walau tidak dapat apa yang dimahu, percayalah pasti ada hikmah disebaliknya. Tidak semua yang dipinta akan kita dapat dan bersangka baiklah kepada Allah kerana Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Qanaah adalah berpada-pada dengan apa yang ada. Tidak salah menjadi kaya tetapi salah jika meninggalkan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Qanaah tidak mengajar kita untuk miskin harta tetapi ia mengajar kita untuk mensyukuri pemberianNya. Gunakannya kepada jalan yang benar dan bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja.
Bacalah dan fahamilah kisah-kisah orang soleh terdahulu yang kaya jiwanya. Mereka mencintai Allah dan rasulNya lebih daripada cintakan dunia. Mereka walau serba kekurangan dari segi harta namun jiwa mereka kaya melebihi kekayaan dunia. Subhanallah! Contohilah sifat-sifat mereka.
Berilah sedikit waktu dan ruang dalam diari kehidupan kita dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, mengikuti pengajian yang semuanya akan membawa hati kita kaya dengan mutiara-mutiara ilmu yang bermakna. Dengan menambah ilmu yang bermanfaat akan membuatkan hati kita terisi dan tidak merasa kosong lagi.
Menganggap dunia ini kecil akan membuatkan jiwa kita tidak terasyik dengan tipu dayanya. Selain itu, kita tidak lagi merasa risau jika kehilangannya kerana di hadapan kita ada akhirat yang sedang menunggu. Cintakan akhirat tidak bermakna tinggalkan dunia tetapi uruslah dunia dengan landasan yang benar.
Mengingati mati akan membuatkan jiwa kita kental untuk menghadapi kehidupan. Segala yang berada di dunia hanya bersifat sementara dan tidak kekal. Mengingati mati memberi kesedaran kepada kita untuk tidak mensia-siakan kehidupan dunia lalu merasakan setiap saat adalah bermakna.
Waallahu a’lam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.