Oleh Fizah Lee • 30 Apr 2020 • 3 min baca
Antara ciri orang munafik ialah apabila berbicara, dia berbohong. Ia adalah sifat mazmumah (buruk) yang dilarang dalam Islam.
Apabila anda berbohong, ia boleh mempengaruhi reputasi anda sendiri. Sekali atau dua kali ia berlaku, mungkin masih boleh dimaafkan, namun apabila ia berlaku dengan sengaja secara berkali-kali, orang sekeliling anda boleh mula hilang kepercayaan kepada anda.
Pernah dengar kisah seorang pemuda yang mengembala kambing? Suatu hari pemuda itu berasa sangat bosan, lalu dia menipu daya orang-orang kampung dengan mengatakan ada serigala yang datang untuk membaham kambing-kambingnya.
Kali pertama ia berlaku, orang kampung berpusu-pusu datang bagi membantu menghalau serigala tersebut. Namun, apakan daya ia hanyalah satu tipu helah pemuda tersebut yang bertujuan untuk menghiburkan dirinya sendiri.
Kali kedua, ia berlaku lagi dan reaksi orang kampung masih sama. Mereka mempercayainya, namun pemuda tersebut ketawa kerana geli hati akibat tindakan orang kampung itu yang mempercayainya bulat-bulat.
Kali ketiga, pemuda itu menjerit lagi meminta tolong. Namun, orang kampung sudah tidak mengendahkannya kerana mereka merasakan bahawa pemuda itu menipu.
Malangnya, kali ini serigala benar-benar telah datang dan membaham kambing-kambingnya. Disebabkan dia pernah menipu beberapa kali, maka tiada siapa yang mempercayainya lagi.
Akhirnya, siapa yang rugi? Pemuda itu sendiri, bukan? Perbuatannya telah memakan dirinya sendiri. Inilah yang dikatakan akibat menipu. Sedikit demi sedikit orang akan mula hilang kepercayaan kepada anda.
Walaupun ia hanyalah sekadar cerita dongeng yang dibaca sewaktu zaman kanak-kanak, namun pengajaran di sebaliknya sangat besar. Ia mengajar seseorang untuk sentiasa bersikap jujur dan elakkan daripada perbuatan buruk itu. Bimbang jika ia mengundang kepada masalah yang lebih besar.
Apabila berbicara mengenai pendustaan, mungkin ada yang tertanya sama ada ia boleh memberi kesan kepada ibadah puasa kita atau tidak.
Bukan mudah untuk menghilangkan tabiat menipu terutamanya buat mereka yang sudah terbiasa dengan perbuatan tersebut.
Ia mengambil sedikit masa. Namun, kadang-kadang mungkin akan tersasul juga. Ada sebuah periwayatan yang mahsyur mengenai amalan ini yang dikatakan boleh membatalkan puasa.
Maksud: “Lima perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan wuduk; berbohong, mengumpat, mengadu domba, melihat ajnabi dengan syahwat dan bersumpah palsu (berbohong).”
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Al-Jauraqani oleh Ibnul Jauzi melalui Al-Maudhu’at (1131). Namun, hadis ini telah dinukilkan palsu.
Ia ada dijelaskan oleh Ibnul Jauzi melalui Al-Maudhu’at (1131), Al-Albani dalam Silsilah Adh-Dhaifah (1708).
Justeru, jika anda mendengar hadis yang mengatakan berbohong boleh membatalkan puasa anda, maka ia adalah tidak tepat. Puasa anda masih sah dan wajib diteruskan seperti biasa. Tidak perlu berbuka.
Sebaliknya, yang batal ialah pahala puasa anda. Terdapat sebuah hadis sahih yang meriwayatkan mengenai perihal tersebut.
Maksud: “Orang yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan mengamalkannya serta mengganggu orang lain, maka Allah tidak berhajat ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1903)
Yang dimaksudkan melalui hadis ini ialah perbuatan berbohong itu boleh menyebabkan pahala puasa anda berkurang kerana ditambah oleh dosa yang anda lakukan.
Menurut Imam Ibnu Hajar – “Hadis ini bukanlah bermaksud arahan kepada orang yang berpuasa untuk meninggalkan puasanya itu. Bahkan, maknanya merupakan ancaman terhadap perbuatan bohongnya itu.” (Fath al-Bari, Ibn Hajar (4/139)
Tuntasnya, tinggalkanlah perbuatan berbohong anda untuk menyelamatkan pahala puasa anda. Yang penting ialah anda berusaha sedaya upaya agar ia tidak lagi menjadi tabiat.
Berbohong tidak membatalkan puasa anda, namun ia boleh mengurangkan pahala puasa anda akibat pertambahan dosa tersebut.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.