Oleh Natirah Azira • 28 Apr 2020 • 3 min baca
(Ulasan buku ini telah ditulis dan dikongsikan oleh Saudara Anaih Ilya di akaun Facebook miliknya)
#Buku2020 – Pendoa yang Ikhlas oleh Azizi Haji Abdullah. Buku ketigabelas yang selesai dibaca bagi tahun ini!
Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Cetakan pertama, 2020
232 halaman
RM 15.40
Sejujurnya kalau aku tak ‘terbaca’ buku Latifah Rabbaniah karya (Allahyarham) Azizi Haji Abdullah berbelas tahun lalu, aku takkan pernah tahu kehebatan sosok ini bersama rakan-rakan seperjuangannya seperti (Allahyarham) Shahnon Ahmad atau (Allahyarham) Abdullah Hussain dalam dunia kesusasteraan Melayu.
Buku koleksi cerpen tersebut (yang diterbitkan oleh DBP juga sekitar 70-an dan 80-an) membuka mata aku kepada naratif yang menarik lagi menggemparkan ketika aku masih menyangkakan bahawa semua cerpen atau novel Melayu hanya berkisar tentang cerita cinta dan perebutan harta saja.
Sampai sekarang aku masih teringat cerpen Sami Mekong – sangat kontroversi sekali dalam memaparkan kisah cinta seorang sami Buddha dengan seorang gadis Melayu-Islam!
Berbalik kepada naskhah ini, aku bernasib baik sempat membelinya semasa Pesta Buku Selangor awal bulan ini, siap dapat diskaun lagi dari harga asalnya RM22. Walaupun pada mulanya aku macam nak tunggu saja Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 (PBAKL2020) yang sepatutnya bermula 27 Mac lalu, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dah mengubah segala-galanya! Setahu aku PBAKL2020 dah pun dianjakkan ke bulan Julai nanti.
Naskhah ini juga sebenarnya pernah diterbitkan oleh DBP pada tahun 2005 di bawah siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad ke-20, namun dalam edisi terbitan terbaru ini aku perasan ada empat cerpen yang telah ‘dikeluarkan’ daripada 20 yang ada sebelum ini, iaitu Sami Mekong, Latifah Rabbaniah, Kipas Angin dan Doa Seorang Bapa.
Mungkin kerana DBP tak mahu edisi kali ini dihambat kontroversi berkaitan agama dan kaum barangkali? Aku hanya mampu meneka.
16 cerpen yang masih berbaki dalam naskhah ini dihasilkan oleh penulisnya sekitar tahun 1974 hingga 1996, dan kebanyakannya memilih watak lelaki tua sebagai tunjang ceritanya – sama ada seorang bapa atau datuk – yang terpaksa melakukan sesuatu yang berani, yang radikal, atau yang menyayat hati bagi menyelamatkan apa yang dikasihinya, atau sekadar meneruskan hidup yang tidak berbaki apa-apa.
Kisah pertama iaitu Bapa tak silap aku dah dijelmakan menjadi sebuah novel bertajuk Ayahanda, dan turut terkait dengan kisah Sengat Sembilang, Pendoa yang Ikhlas, dan juga Ranggi Anak Cucu. Dalam menceritakan kisah sayang-benci seorang anak dengan bapanya yang sama-sama keras kepala ni, rasanya ia diinspirasikan dari hubungan penulisnya sendiri dengan ayahnya, Haji Abdullah Md. Diah.
Begitu juga halnya dengan Wau Kepala Burung, Tersungkap, Cengal Batu dan juga Keng, Cucu dan Tuk – semuanya memaparkan keperitan hidup warga tua yang uzur atau warga desa yang penuh kedaifan.
Kesemua cerita ini memang aku angkat dua ibu jari dari segi pembinaan ceritanya yang ringkas tetapi penuh kejutan yang tak terjangka dan kesudahannya amat memilukan. Sama ada mulut anda akan terlopong atau mata anda akan merenung jauh ke luar jendela dan memikirkan nasib mereka yang susah di luar sana – memang hebat penangannya!
Kemudiannya, tema hubungan seorang guru panas baran dengan anak muridnya yang selalunya buta huruf, miskin atau cacat menjadi tunjang kepada kisah Paku Payung dan Limau Mandarin, Mohd. Dhuha dan Sakinah. Ketiga-tiganya memberi pengajaran yang menginsafkan buat para pendidik yang selalu menganggap ilmu pendidikan hanya turun dari guru kepada murid, dan bukan sebaliknya.
Namun itu tidak bermakna kisah-kisah lain tak kurang menariknya. Rokok Daun Celepa Tembakau memaparkan seorang lelaki tua ulat buku; Wi dan Seladang pula berbaur nasionalis Melayu, manakala Mencari Diri pula agak lain dari yang lain dengan tema krisis wujudiah yang menghantui seorang lelaki pertengahan umur.
Sememangnya sebuah naskhah yang tak rugi dimiliki bagi pencinta cerpen, tambahan lagi penulisnya pun dah banyak kali menjuarai pertandingan Sayembara Cerpen ESSO-Gapena dan SEA Write Award!
5/5 bintang
#MalaysiaMembaca
#JomBacaBuku
#PendoaYangIkhlas
#AziziHajiAbdullah
#DBP
#PestaBukuSelangor2020
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.