“Barang siapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu” (HR Muslim)
Solat Tarawih adalah solat sunat muakkad (yang sangat dituntut) pada bulan Ramadan. Maksud ‘tarawih’ adalah beristirehat. Jadi, solat ini dilakukan berselang-seli dengan salam umpama ‘berehat seketika’. Solat ini menjadikan ruang masa pada waktu malam dapat dimanfaatkan dengan baik.
Sehubungan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan bilangan jemaah, pastinya umat Islam memerlukan panduan yang sesuai untuk menunaikan Solat Tarawih di rumah sama ada secara bersendirian atau berjemaah bersama ahli keluarga.
Mari kita ikuti panduan mudah yang telah disediakan oleh pihak Jakim ini.
Solat Sunat Terawih ditunaikan selepas menunaikan Solat Fardu Isyak atau selepas Solat Sunat Ba’diah (selepas Isyak).
Sembahyang Sunat Tarawih ditunaikan seperti solat sunat biasa iaitu dua rakaat satu salam. Ia kemudian diulangi sehingga sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki.
Terdapat banyak riwayat dan pendapat yang menceritakan bahawa Solat Sunat Tarawih ditunaikan sama ada 11 rakaat, 20 rakaat malah ada juga yang menyebutkan 36 rakaat.
Namun kebiasaannya di Malaysia, Tarawih ditunaikan sebanyak:
8 rakaat + witir (kebiasaannya 1 atau 3 rakaat)
Solat Pertama (2 rakaat dan salam)
Solat Kedua (2 rakaat dan salam)
Solat Ketiga (2 rakaat dan salam)
Solat Keempat (2 rakaat dan salam)
Solat witir (1 atau 3 rakaat dan salam)
20 rakaat + witir (kebiasaannya 1 atau 3 rakaat)
Diulang seperti di atas sehingga cukup 20 rakaat solat Tarawih serta solat witir.
Niat Secara Berseorangan
(Usolli sunnata-tarawihi rak’ataini lillahi taala)
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Taala
Niat Bagi Imam
(Usolli sunnata-tarawihi rak’ataini imaman lillahi taala)
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat menjadi imam kerana Allah Taala.
Niat Bagi Makmum
(Usolli sunnata-tarawihi rak’ataini makmuman lillahi taala)
Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat menjadi makmum kerana Allah Taala.
Pergerakan dan bacaan tasbih (contohnya ketika rukuk dan sujud) bagi solat Sunat Tarawih dilakukan sama seperti solat fardhu biasa.
Selepas membaca Al-Fatihah, kita boleh membaca apa-apa surah yang dihafal.
Namun jika inginkan kepelbagaian, pada malam 1 hingga 15 Ramadan, boleh juga dibacakan surah-surah yang tertentu pada rakaat pertama mengikut susunan seperti:
1. Surah Al-Takathur
2. Surah Al-Asr
3. Surah Al-Humazah
4. Surah Al-Fil
5. Surah Quraisy
6. Surah Al-Ma’un
7. Surah Al-Kautsar
8. Surah Al-Kafi run
9. Surah An-Nasr
10.Surah Al-Masad
*Pada tiap-tiap rakaat yang kedua pula dibaca surah al-Ikhlas.
Dari malam 16 hingga akhir Ramadan,
Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah al-Qadr.
Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadan iaitu bermula dari surah al-Takathur hingga kepada surah al-Masad.
Biasanya apabila melakukan Solat Tarawih secara berjemaah di masjid, kita akan mendengar ucapan selawat dan wirid bilal disambut dengan suara gema dari para jemaah.
Ia sebenarnya perbuatan sunat sahaja. Anda boleh memilih untuk mengucapkan wirid ini atau selawat biasa sahaja.
Seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, umat Islam di Malaysia kebiasaannya menunaikan solat witir dengan 3 rakaat. Bilangannya perlu dalam angka ganjil.
Secara ringkasnya, pelaksanaan Solat Witir adalah seperti berikut:
1. Dilakukan dengan 3 rakaat dengan dua salam.
Solat pertama (2 rakaat dan salam)
Solat kedua (1 rakaat dan salam)
2. Lafaz niat Solat Witir
*Dua Rakaat
(Usolli sunnatal-witri rak’ataini lillahi taala)
Sahaja aku solat witir dua rakaat kerana Allah Taala.
*Satu Rakaat
(Usolli sunnatal-witri rak’atan lillahi taala)
Sahaja aku solat witir satu rakaat kerana Allah Taala.
3. Selepas membaca Al-Fatihah, boleh membaca apa-apa surah namun afdalnya membaca surah berikut:
Rakaat Pertama – Surah Al’Ala
Rakaat Kedua – Surah Al-Kafiruun
Rakaat Ketiga – Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas
3. Solat seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
4. Pada malam ke-16 hingga akhir bulan Ramadan disunatkan membaca qunut pada rakaat witir yang akhir. Lafaznya sama dengan lafaz Qunut untuk Solat Subuh.
Akhir sekali, bolehlah dibaca apa-apa doa sebagai penutup solat Tarawih dan Solat Witr.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.