Doa iftitah merupakan salah satu perkara sunat yang dilakukan semasa solat. Ia termasuk dalam kategori sunat haiat, iaitu sunat yang tidak akan menyebabkan sujud sahwi apabila ditinggalkan.
Imam Nawawi mengatakan bahawa bacaan doa Iftitah merupakan sunnah dalam solat sama ada untuk imam, makmum, orang yang menunaikan solat wajib dan solat sunat.
Terdapat beberapa jenis bacaan doa Iftitah yang pernah diriwayatkan, sama ada yang berbentuk panjang dan juga yang pendek.
Namun, baacan yang kita baca hari ini adalah yang afdal di sisi para ulama Syafi’e, iaitu:
وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا، وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، اللهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي، وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
Maksud: “Aku hadapkan wajahku kepada Zat yang Maha Pencipta langit dan bumi sebagai Muslim yang ikhlas dan aku bukan termasuk dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku hanya semata-mata untuk Allah, tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagiNya. Oleh kerana itu, aku patuh kepada perintahNya dan aku termasuk dalam kalangan orang yang aku berserah diri. Ya Allah! Engkaulah Yang Maha Penguasa. Tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau dan Maha Terpuji. Engkaulah tuhanku dan aku adalah hambaMu.
Aku telah menzalimi diri aku sendiri. Maka, ampunilah semua dosaku. Sesungguhnya tidak ada yang boleh mengampuni dosa melainkan Engkau. Tunjukilah aku akhlak yang paling terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkannya melainkan hanya Engkau. Jauhkanlah dariku akhlak yang buruk. Kerana sesungguhnya tidak ada yang sanggup menjauhkannya melainkan hanya Engkau. Aku patuhi segala perintahMu dan aku tolong agamaMu. Segala kebaikan berada di tanganMu. Sedangkan kejahatan tidak datang daripadaMu. Aku berpegang teguh denganMu dan kepadaMu. Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi. Kumohon ampun dariMu dan aku bertaubat kepadaMu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 201)
Menurut Imam Nawawi, hukum membaca doa iftitah dalam solat sunat sunat mahupun solat wajib adalah sunat. Jadi, tiada masalah untuk tidak membacanya ketika menunaikan solat sunat.
Maksud: “Ketahuilah bahawa semua doa ini (pelbagai versi doa iftitah dalam hadis) hukumnya sunat dalam solat wajib mahupun solat sunat.” (Lihat al-Azkar, 1/107)
Walau bagaimanapun, jika anda solat secara berjemaah dan imam tidak membaca doa iftitah (terus membaca al-Fatihah), maka tidak menjadi masalah untuk anda membaca doa Iftitah sementara menunggu imam.
Hal ini ada disebut oleh ulama Syafi’e – “Disunnahkan bagi makmum untuk membaca doa iftitah walau imam sudah mengeraskan bacaan surahnya dan makmum mendengarnya.”
Justeru, solat wajib atau sunat tanpa doa Iftitah masih lagi sah dan tidak batal. Namun, ini tidak bermaksud anda boleh membuat keputusan untuk tidak membaca doa Iftitah dalam setiap solat wajib yang dilakukan.
Adalah lebih baik untuk membaca doa ini di dalam solat kerana ia adalah salah satu bentuk sunnah yang tidak ditinggalkan Baginda SAW.
Rujukan:
Mufti Wilayah

