Tahukah anda munafik itu bermaksud orang yang mengaku Islam, namun amalan dan praktiknya adalah berbeza dengan pengakuan yang telah dibuat.
Pada zaman Baginda SAW, orang-orang munafik ini tidak dilihat secara terang-terangan kerana mereka lebih suka bersembunyi di sebalik nama Islam.
Namun, berbeza dengan hari ini. Orang munafik ini ada dua jenis, iaitu yang bersembunyi dan tidak melakukannya secara terang-terangan serta yang kedua ialah golongan yang menghebohkan kemunafikan mereka.
Ia bukanlah bermaksud mereka mengisytiharkan kemunafikan mereka dengan berkata – “Aku munafik.”
Namun, mereka terang-terang melakukan dosa dan kemaksiatan serta berbangga dengan menghebohkannya kepada mata umum.
Inilah yang lebih bahaya kerana tindakan mereka bukan sahaja boleh menimbulkan dosa kepada diri sendiri, namun bimbang jika akhirnya kemaksiatan tersebut menjadi normalisasi dalam kehidupan seharian kita.
Golongan ini bukan sahaja menghebohkan dosa mereka, namun ramai dalam kalangan sebegini akan menyokong tindakan sesama mereka dengan alasan inilah ‘tiket’ mereka bersuara dan menjadi diri sendiri. Itulah yang akan menyebabkan dosa yang akhirnya dipandang perkara biasa bahkan disokong membuta tuli.
Bimbang jika ia boleh menjadi dosa berantai buat golongan ini kerana telah menjadi asbab orang lain mengikut perbuatannya.
Tahukah anda, pada zaman Baginda SAW, ada seorang pemuda yang merupakan seorang munafik dan dikatatakan bahawa dia merupakan ketua kepada kaum munafik pada waktu itu.
Dia sentiasa bersolat di belakang Baginda SAW, namun apabila berada dalam kumpulannya, dia akan menghina dan mengutuk ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW.
Dia ialah Abdullah Ibnu Ubay bin Salul. Dia juga sering mencari ikhtiar untuk memecah-belahkan umat Islam ketika itu. Namun, kemunafikannya diketahui oleh Baginda dan umat Islam ketika itu.
Sehinggalah pada suatu hari, dia telah dikhabarkan meninggal dunia. Namun, Baginda memilih untuk menyolatkan jenazahnya.
Dari Abdullah ibnu Umar katanya: “Ketika Abdullah ibnu Ubay – Seorang pemuda munafik meninggal dunia, maka puterinya telah datang berjumpa Baginda SAW seraya berkata: “Berikan padaku qamish (baju Baginda) untuk aku jadikan kafan bagi ayahku dan solatkan dia serta mohonkan ampun baginya.” Maka, Baginda SAW memberikan qamishnya dan berkata: “Jika telah selesai mengkafaninya, maka beritahukan kepadaku untuk aku menyolatkan jenazahnya.”
Ketika Baginda hendak menyolatkan jenazahnya, maka Umar mencegahnya lalu berkata: “Mengapa engkau hendak mensolatinya sedangkan Allah telah melarangmu untuk mensolati kaum munafikin?” Baginda bersabda: “Aku diberi dua pilihan oleh Allah sebagaimana yang difirmankan – ‘Baik engkau memohon ampun kepada mereka ataupun tidak, tiadalah Allah memberi ampun bagi mereka.” Maka, Baginda SAW mensolatinya.
Berkenaan dengan kejadian itu, Allah kemudian menurunkan firmannya yang bermaksud: “Jangan kamu mensolati salah seorang pun dari mereka jika mati untuk selama-lamanya dan jangan kamu berdiri di atas kuburnya.” Maka, sejak itu, Baginda SAW tidak pernah mensolati kaum munafikin lagi.” (Hadis Riwayat An-Nasai, no. 1869)
Sejak daripada itu, Baginda SAW tidak pernah menyolatkan jenazah orang-orang yang munafik kerana ia adalah perintah daripada Allah SWT sendiri.
Bahayanya orang yang munafik ini ialah kerana mereka berselindung di sebalik nama baik Islam. Inilah yang dikatakan sebagai topeng dua muka.
Hatim Al-Ashom berkata – “Orang munafik mengambil dunia dengan rasa tamak, melindungi harta tersebut dengan penuh keraguan dan menginfakkannya dengan riak (mengharapkan pujian). Sedangkan orang mukmin mengambil harta dengan penuh kekhuatiran, menjaganya dengan baik dan menginfakkannya dengan ikhlas di jalan ketaatan.” (Hilayatul Auliya’, 8:79)
Walau bagaimanapun, harus diingatkan kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa dan mengatakan mereka munafik. Bezanya dengan kita, Rasulullah SAW dahulu diberi kelebihan oleh Allah untuk mengetahui siapakah insan yang benar-benar munafik daripada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada baginda sendiri.
Kita hanya boleh mengambilnya sebagai ibrah dan pengajaran untuk diinsafi berdasarkan keterangan tentang ciri-ciri munafik yang diterangkan oleh Nabi SAW. Akhirnya, mari kita sama-sama doakan diri sendiri dan juga semua umat Islam di luar agar tidak termasuk dalam golongan yang dimurkai Allah ini. Amin.
Sumber:
Rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.