“New normal”
Itu ungkapan yang semakin meniti di bibir ramai orang dalam tempoh PKP yang masih tidak nampak penghujungnya ini. New normal atau ‘kebiasaan baharu’ adalah keadaan di mana perkara yang selama ini kita rasakan asing semakin menjadi hal yang normal dalam kehidupan kita.
Ada yang mula bekerja dari rumah, mesyuarat melalui panggilan video kian menjadi kebiasaan. Anak-anak pula menyertai kelas dengan rakan-rakan secara maya. Gelak tawa dengan rakan yang jauh juga secara maya.
Ada mak cik pak cik yang selama ini tidak pernah menggunakan kemudahan kedai digital, sudah pandai memesan dan membayar melalui dalam talian sahaja. Tahu-tahu sahaja barang sampai di rumah. Malah ada yang membeli ikan hanya melalui pesanan cash-on delivery, tidak mahu lagi ke pasar kerana bimbang bercampur dengan orang ramai.
COVID-19 memang sudah mengubah banyak hidup kita, tetapi saya berharap ia bukan hanya mengubah kita kepada rutin baru yang bersifat luaran sahaja.
Proses yang lebih penting perlu kita lalui semasa tempoh kuarantin adalah perubahan daripada dalam diri. Kita bermuhasabah untuk menyedari tentang keterbatasan diri. Kita hamba Allah yang diberi kemampuan dan kudrat yang terbatas.
Barangkali inilah yang dilalui Wilhelm Ott, seorang ahli tinju MMA yang baru dikhabarkan beberapa hari lepas memeluk Islam.
Katanya krisis COVID-19 ini telah menyebabkan beliau mencari kepercayaan dalam hatinya semula. Apabila kesusahan hidup menimpa, Islam memberi kekuatan yang diperlukan. Kini keyakinan dalam hatinya telah menjadi kuat dan akhirnya dia mampu memeluk Islam.
Rupanya apabila musibah wabak begini menimpa, kita hanyalah seorang hamba yang terbatas kudratnya. Di sebalik kemahuan kita yang banyak, takdir dan aturan Allah itu lebih mendahului perjalanan hidup kita. Apabila hidup menjadi payah, kita tidak dapat menafikan bahawa kita memerlukan kekuatan daripada satu kuasa yang lebih besar iaitu Allah SWT.
Walau bagaimanapun keadaan ini bukan untuk membuatkan kita berasa hampa, tetapi kita meletakkan semula kompas harapan kita kepada Tuhan. Ia membuatkan kita melihat dengan lebih terang – apa sudut kurang dan lemah hidup kita yang masih boleh diperbaiki.
Jika selama ini kita jarang meluangkan masa dengan keluarga, maka ini masanya kita kembali menghargai masa dengan mendengar celoteh dan bicara mereka. Jika kita sering mengabaikan kewajipan solat kerana sering mengejar masa dan tugasan, maka ini masanya untuk kita mula memelihara perintah Allah tersebut. Jika selama ini kita jarang bersedekah, maka sekarang kita mampu melihat orang-orang di sekeliling yang susah dan boleh dibantu.
Inilah ‘new normal’ yang sebenarnya kita mahukan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.