Gaya Hidup, Ibadah

Berniat Menuntut Ilmu Untuk Menghilangkan Kebodohan?

Oleh Fizah Lee  •  23 Apr 2020  •  3 min baca

Baru-baru ini, kita telah diumumkan oleh kerajaan akan penangguhan beberapa peperiksaan dalam kalangan murid seperti SPM, STPM dan STAM. Manakala, untuk peperiksaan UPSR dan PT3 pula telah dibatalkan.

Hal ini sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa terutamanya kerana ia boleh menjejaskan penilaian akademik anak-anak mereka.

Dalam masa yang sama, pihak guru serta Kementerian Pendidikan sedang cuba mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani isu ini.

Bagi murid-murid yang terlibat pula, rata-rata ada yang menzahirkan rasa syukur dan dalam masa yang sama bimbang. Keputusan ini diambil bagi menjaga keselamatan anak-anak murid dan juga warga guru daripada wabak yang sedang melanda kita hari ini.

Adapun, mungkin ramai dalam kalangan pelajar yang sedang bercuti bagi menikmati hari-hari PKP yang telah dikuatkuasakan.

Malah, ada yang berkata: “Alah, sekarang kan cuti. Tak perlu belajar.”

Timbul persoalan di sini, adakah menuntut ilmu itu merupakan sebuah perkara yang menjadi tuntutan dek pengaruh sistem negara ini sendiri atau disebabkan oleh saranan dan tuntutan agama?

Walaupun sekolah dan universiti ditutup sementara waktu, namun kewajipan menuntut ilmu itu masih lagi perlu ditunaikan.

Salah Satu Sebab Menuntut Ilmu Untuk Hilangkan Kebodohan

Syeikh Muhammad bin Salih Al-Utsaimin menjelaskan bahawa, salah satu niat yang boleh ditanamkan dalam diri seorang penuntut ilmu ialah untuk menghilangkan kebodohan.

Manusia itu asalnya tidak tahu apa-apa. Pada zaman Nabi Adam as, baginda sendiri telah diajar sedikit demi sedikit tentang pengetahuan akan dunia ini oleh utusan Allah, iaitu malaikat.

Dari kosong pengetahuan, sedikit demi sedikit baginda tahu dan itulah yang menjadikan baginda mampu bertahan di muka bumi ini.

Mafhum: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (Surah An-Nahl, 16:78)

Kebodohan itu sendiri merupakan sebuah penyakit yang boleh membahayakan. Jika manusia mempunyai ilmu, maka ilmu itu yang akan menjaganya, berbeza dengan harta kerana manusia yang akan menjaganya.

Dengan ilmu, ketamadunan manusia boleh berubah ke arah yang lebih baik. Buktinya, kita dapat lihat semakin banyak manusia mengkaji dan menggali ilmu, maka semakin banyak yang boleh dihasilkan.

Jika dulu, kita hanya memakai telefon yang mampu memuatkan rangkaian 2G, namun kita sudah dinaik taraf kepada hampir 5G. Jika dulu, beca dan haiwan merupakan kenderaan rasmi, namun kini manusia sudah boleh memandu kenderaan empat roda sendiri.

Malah, pelbagai lagi kemajuan yang berjaya dicapai. Inilah bukti ilmu yang boleh membantu manusia ke arah kehidupan yang lebih baik.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah RA menyebut – “Dan kebodohan itu adalah penyakit yang mematikan. Ubatnya adalah dua perkara yang disepakati, iaitu nas dari Al-Quran atau as-Sunnah. Doktornya pula adalah seorang alim yang rabbani.”

Justeru, tuntutlah ilmu kerana Allah. Niatlah untuk menghilangkan rasa tidak tahu dalam diri. Ilmu itu ada banyak bentuk dan pelbagai cabang.

Oleh itu, janganlah memandang rendah akan ilmu orang sekeliling kerana setiap manusia dilahirkan dengan kemampuan yang berbeza-beza.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami