Ibadah

Malam Nisfu Syaaban – Apa Yang Boleh Dilakukan

Oleh Fizah Lee  •  8 Apr 2020  •  3 min baca

Ada apa dengan nisfu Syaaban? Mengapa ramai orang yang mengagungkan malam ini? Apakah keistimewaan yang terdapat pada tarikh tersebut?

Sebelum kita melihat lebih lanjut mengenai kelebihan dan keistimewaan tarikh ini, adalah lebih baik untuk kita melihat maksud nisfu itu terlebih dahulu.

Ia berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud separuh. Oleh itu, nisfu Syaaban membawa erti separuh dalam bulan Syaaban dan ia sering diraikan pada malam ke-15.

Malam nisfu Syaaban dikatakan sangat istimewa dan ia juga dikenali dengan nama lain seperti Lailatul Mubarakah (malam yang penuh keberkatan), Lailatul Baraah (Malam Pelepasan), Lailatul Ijabah (Malam Diperkenankan Doa) serta banyak lagi.

Ibnu Rajab RA berkata – “Berkaitan malam nisfu Syaaban, pada zaman dahulu, para tabiin daripada penduduk al-Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin amir dan beberapa para tabiin lain memuliakan malam ini dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu.” (Lathaif al-Ma’arif, 247)

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan kelebihan nisfu Syaaban yang tidak boleh disia-siakan oleh kita begitu sahaja kerana ia merupakan salah satu peluang untuk lebih dekat kepada Allah.

Allah Mengampunkan Manusia

Malam nisfu Syaaban kali ini jatuh pada 8 April 2020 bersamaan 1441H di Malaysia iaitu pada hari Rabu sebaik sahaja masuk waktu solat Maghrib.

Antara hadis yang pernah diriwayatkan mengenai kelebihan malam nisfu Syaaban ini adalah yang pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur seperti Abu Musa al-Asy’ari, ‘Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Muaz bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksud: “Allah SWT melihat makhlukNya pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhlukNya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, no. 5665)

Sebahagian ulama mempertikaikan kewujudan hadis-hadis yang pernah diriwayatkan disebabkan oleh perawinya yang terputus atau yang tidak thiqah (lemah).

Namun, hadis daripada Muaz bin Jabal yang diriwayatkan di atas merupakan hadis yang sahih dengan kesemua jalurnya yang baik dan mempunyai asal.

Jumhur ulama berpendapat bahawa tiada amalan yang khusus yang boleh dilakukan pada malam ini kerana tidak diriwayatkan dalam mana-mana periwayatan hadis yang sahih berkenaannya.

Namun, umat Islam boleh menghidupkan malam ini dengan memperbanyakkan zikir, membaca Al-Quran atau surah-surah lazim seperti Surah Yaasin, berdoa untuk memohon keampunan kepada Allah di samping melakukan solat sunat Hajat dan Taubat.

Imam Syafi’e sendiri telah berkata bahawa berdoa pada malam tersebut adalah mustajab. Disebabkan itu, perbanyakkanlah amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah agar doa kita juga boleh diterima.

Kesimpulan

Walaupun tidak diceritakan mengenai amalan-amalan khusus yang pernah dilakukan Baginda pada malam ini, namun kita faham bahawa Baginda tetap meraikan malam ini dengan memperbanyakkan amalan yang sudah menjadi kebiasaan Baginda.

Kita punya begitu banyak masa di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Jadi, apa kata, ambil sedikit masa untuk diperuntukkan bersama Allah bagi memohon keampunan dan meminta agar masalah yang sedang kita hadapi ini segera selesai.

Gunakan peluang dan waktu yang ada ini untuk bermunajat kepada Allah dengan menghidupkan malam istimewa ini.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami