Ulasan Buku

Ulasan Buku – Keindahan Islam: Hikmah-Hikmah Di Sebalik Pensyariatan

Oleh Fazli Abdullah  •  6 Apr 2020  •  5 min baca

“Apa ada pada Islam?”

“Apa yang best tentang Islam?”

Jika inilah soalan yang dilontarkan kepada kita, kita ingin menjawab dengan jawapan yang bagaimana?

“Dalam Islam kita kena solat lima waktu.”

“Jadi orang Islam kita boleh masuk syurga!”

Islam ini adakah hanya tertumpu kepada soal solat sahaja? Soal puasa, zakat, haji dan hanya cukup sekadar mengucap dua kalimah syahadah? Tepatkah begitu? Islam hanya sekadar cukup rukun Islam?

Sebenarnya Islam tidak tertumpu hanya kepada soal rukun Islam sahaja. Islam meliputi seluruh kehidupan kita. Ia sesuai kepada semua golongan manusia. Ia hadir bukan hanya untuk orang yang berbangsa Arab sahaja.

Jadi untuk mengenali lebih jelas mengenai keindahan Islam yang mungkin masih terselindung dan tidak diketahui, maka eloklah kita memiliki buku yang berjudul ‘Keindahan Islam-Hikmah-Hikmah di Sebalik Pensyariatan’.

Pengenalan Buku ‘Keindahan Islam’

Buku ini sebenarnya adalah hasil koleksi tulisan daripada beberapa orang pensyarah Universiti Islam Madinah (UIM). Ia kemudiannya diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Dato’ Dr. Abdul Basit Abd. Rahman diberi tanggungjawab untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.

Buku ini memberi penerangan tentang keindahan syariat Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia iaitu:

1. Keimanan

Mengupas tentang akidah iaitu rukun iman. Mengenai beriman kepada Allah SWT, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab Allah, beriman kepada para rasul, beriman kepada hari akhirat dan beriman kepada qada dan qadar.

Ia akan memberi jawapan kenapa kita perlu beriman kepada enam rukun iman ini – keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan tidak dapat dirasai melainkan dengan benar-benar mengamalkannya.

2. Ibadat

Seperti yang diketahui oleh setiap umat Islam bahawa kita perlulah melaksanakan ibadat seperti solat lima waktu, berpuasa, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji. Turut diselit dalam bab ini adalah mengenai jihad.

Seperti di bab yang pertama, bab kedua juga akan memberi kita satu penjelasan dan jawapan mengenai kelebihan dan keindahan ibadat yang disyariatkan dalam Islam. Ia bukan sebuah syariat yang kosong tetapi ia mempunyai 1001 kebaikan.

3. Kekeluargaan

Bab ini akan mengupas mengenai perkahwinan, berpoligami, talak (penceraian), warisan pusaka, hak-hak ibu bapa, hak-hak anak, dan hak-hak perempuan dalam Islam.

SubhanaAllah sehinggakan isu dalam kekeluargaan juga turut Islam tekankan. Kita pasti hendak tahu kenapa talak dibenarkan dalam Islam walaupun ia antara keputusan yang tidak disukai dalam sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, Islam turut menjaga hak-hak perempuan. Jangan sesekali menganggap Islam meminggirkan hak seseorang perempuan. Bahkan, Islamlah antara agama yang menaikkan dan memelihara martabat dan maruah perempuan.

4. Larangan Dalam Islam

Bab ini akan mengupas mengenai 8 larangan dalam Islam iaitu, perbuatan sihir, perbuatan zina, perbuatan liwat, mendedahkan kecantikan (Tabarruj), pergaulan bebas, riba, arak dan judi.

Pasti ada yang tertanya-tanya kenapa Islam melarang perbuatan zina, mendedahkan kecantikan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan pelbagai lagi larangan yang lain. Inginkan jawapannya? Milikilah buku ini. Bacalah dan fahamilah. Islam tidak melarang sesuatu perkara itu tanpa ada sebabnya.

5. Perundangan

Bab ini akan menfokuskan kepada hukuman hudud. Jenis-jenis jenayah yang berada dalam hukuman hudud ialah murtad, zina, qazaf, mencuri, meminum arak, merompak, menyamun serta qisas.

Fahamilah tentang hikmah pelaksanaan hudud dalam Islam. Ia tidak akan menzalimi orang. Kehadirannya akan membawa kedamaian dan keadilan dalam sesebuah negara.

6. Hubungan Rakyat Dengan Pemerintah

Mengupas hak-hak yang wajib kepada pemerintah dan hak-hak yang wajib kepada rakyat.

Lihatlah betapa Islam bersifat lengkap lagi sempurna. Soal hubungan rakyat dengan pemerintah juga turut diberi penjelasan dan panduan. Sedarlah bahawa Islam bukan sekadar mencukupkan rukun Islam semata.

7. Akhlak

Bab ini akan mengupas beberapa akhlak yang patut dan perlu ada dalam setiap diri insan. Akhlak seperti menepati janji, berdiam atau berkata benar, bersifat sabar, memelihara anak yatim dan banyak lagi turut diceritakan dalam buku ini.

Akhlak yang baik dan mulia antara perkara yang turut diajar dalam Islam. Apa gunanya banyak beribadah tetapi akhlak baik terhindar jauh. Oleh itu, didiklah diri dengan akhlak yang terpuji. Kenali akhlak mulia antaranya melalui pembacaan buku ini.

Kenapa Perlu Memiliki Buku Ini?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesiapa yang mencari agama selain Islam maka tidak akan diterima dan dia di Hari Akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran 3:85)

Buku ini mempunyai mutiara ilmu yang mungkin selama ini kita cari. Di kala manusia akhir zaman sedang diasak dengan kehidupan yang penuh hiburan duniawi, pasti ada sebahagiannya inginkan erti kehidupan dan kebahagiaan yang sebenar. Kebahagiaan itu adalah dengan kembali kepada Islam. Kembali kepada fitrah sebenar kita.

Milikilah buku ini kerana ia akan memberi kita jawapan kenapa kita perlu bersolat lima waktu, apa kelebihan berpuasa, tentang hudud yang ramai masih tersalah sangka dan menganggap zalim serta pelbagai lagi jawapan yang akan membuatkan kita akan bersyukur kerana kita diberi anugerah iman dan Islam.

Dengan kewujudan buku ini dapatlah kita lebih menghargai setiap ibadah yang kita laksanakan selama ini. Semua yang disyariatkan dalam Islam adalah untuk kebaikan kita. Perkara yang dilarang pula bukan sebagai satu kekangan untuk kemajuan tetapi ia membawa satu rahmat yang akan memakmurkan kehidupan seluruh dunia.

Dengan harga RM36.00, kita telah mendapat 1001 ilmu yang cukup besar. Tidak terbanding dengan nilai wang ringgit kita. Bacalah buku ini dan ulangi untuk lebih kukuh kefahaman kita tentang hikmah pensyariatan dalam Islam. Semoga hidup dan mati kita dalam iman serta setiap ibadah kita diterima oleh Allah SWT. Amin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami