Site icon Tazkirah

Hukum Jual Beli Kucing

Telatah kucing kerap kali mencuit perhatian lebih-lebih lagi yang dipelihara elok sebagai binatang peliharaan di rumah. Di sosial media pula netizen saling berkongsi gambar dan rakaman video kucing peliharaan masing-masing sehingga ada diwujudkan satu profil khusus untuk pencinta-pencinta kucing.

Ada yang bertindak menyelamatkan kucing di jalanan, kemudian merawat dan menjaganya dan ada pula yang hanya mendapatkan kucing dengan membelinya di kedai haiwan peliharaan. Kucing telah menjadi ‘barang komoditi’ yang dijual kerana adanya permintaan.

Namun kali ini, Tzkrh ingin bercakap mengenai hukum jual beli kucing dalam Islam – adakah ia amalan yang dibolehkan?

Pendapat Pertama

Kucing haram dijual beli secara mutlak. Pendapat ini disandarkan kepada hadis daripada Abu Zubair RA:

سَأَلْتُ جَابِرًا عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ قَالَ زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ

Maksudnya: Aku (Abu Zubair) bertanya kepada Jabir (seorang sahabat Nabi SAW) berkenaan jual beli anjing dan al-Sinnur (kucing). Dia menjawab bahawa Rasulullah SAW melarang perkara itu. (Riwayat Muslim, no.1569)

Dalam riwayat lain juga ada disebutkan bahawa Rasulullah SAW melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing.

Pendapat Kedua

Jumhur ulama termasuk Mazhab Syafie membenarkan jual beli kucing sekiranya ia mengandungi manfaat seperti boleh menangkap tikus (maka hukumnya halal untuk dijual beli). Bermakna ia sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya dijual belikan.

Ada juga yang mengatakan bahawa kucing haram dijual beli kerana ketika Islam mula datang, kucing dianggap najis, kemudian barulah Rasulullah SAW memberitahu bahawa kucing itu suci lalu dibenarkan jual beli.

Pendapat Lain

Dalam Kitab ‘Aunul Ma’bud, Imam Al-Khattabi menyebutkan bahawa larangan jual beli kucing mungkin kerana kucing dikira haiwan liar yang tidak mempunyai pemilik sehingga tidak mungkin boleh disahterimakan. Kucing juga selalu berada (hidup) di sekeliling manusia berbeza dengan haiwan ternak yang lain seperti lembu atau burung.

Kesimpulan

Walau bagaimanapun, larangan jual beli ini lebih dekat dengan hukum makruh seperti mana yang dipegang oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan. Tuntasnya, masih banyak kucing di jalanan yang terbiar dan tidak dijaga dengan baik. Malah ada yang dipukul dan dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang.

Bukankah lebih baik jika kita mengambil kucing-kucing ini untuk dirawat dan dijaga berbanding membeli kucing yang sudah cantik dan elok?

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

Exit mobile version