Jika anda pernah melalui (dan masih ingat) pengalaman ketika sakit – kebiasaannya orang tua-tua akan merawat kita dengan menyapu ubat sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat daripada Al-Quran.
Kadang-kadang, mereka hanya menyuruh kita meminum air yang telah dibacakan surah-surah dan zikir sahaja dengan menyuruh kita memperbanyakkan istighfar dan juga berdoa.
Bahkan, sehingga ke hari ini, petua-petua tersebut masih diamalkan oleh umat Islam, sama ada yang muda mahupun tua.
Air yang telah dibacakan padanya surah ini akan dijaga sebaik mungkin kerana ia mengandungi bacaan ayat suci Al-Quran dan untuk mngharapkan kesembuhan daripada Allah.
Persoalannya di sini ialah, adakah perbuatan membacakan surah dan ayat Al-Quran dengan tujuan penyembuhan dibolehkan?
Jumhur ulama telah melihat kepada perbuatan ini dan bersepakat bahawa ia bukanlah suatu perbuatan yang salah. Hal ini kerana, ia pernah diriwayatkan berlaku pada zaman para nabi.
Bahkan, Baginda SAW juga membenarkan perbuatan tersebut yang pernah dilakukan oleh para sahabat. Seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Sa’id al-Khudri RA:
Maksud: “Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut.
Namun, penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: “Adakah ada di antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana, penghulu kampung kami terkena sengat.” Salah seorang daripada sahabat menjawab: “Ya, ada.” Lalu, beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah.
Kemudian, ketua kampung tersebut sembuh. Maka, sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau menolak pemberian tersebut dan mengajukan syarat untuk mengkhabarkan berita tersebut kepada Rasulullah. Beliau pun pulang dan berjumpa nabi. Beliau berkata: “Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah Fatihah.” Kemudian Baginda bertanya: “Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi? Ambillah pemberian mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 5863)
Al-Quran itu sendiri bersifat sebagai ubat yang boleh menyembuhkan sama ada penyakit zahir dan rohani.
Justeru, jumhur ulama seperti dari kalangan mazhab Syafi’e dan juga Hanbali berpendapat bahawa hukumnya adalah dibolehkan. Imam Nawawi juga menyebutkan bahawa sunat dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran kepada mereka yang sakit dengan harapan kesembuhan ke atasnya.
Namun, sebagai umat Islam yang disuruh untuk meletakkan usaha, ikhtiar dan doa itu pada paras yang selari, kita juga disaran untuk tidak mengabaikan nasihat doktor atau usaha daripada luar.
Dalam masa yang sama, niat dan akidah seseorang dalam mengamalkan al-Quran itu perlulah betul dan elakkan daripada melebih-lebih agar tidak terpesong akidahnya.
Mafhum: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.” (Surah Al-Isra’, 17:82)
Wallau a’alam
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.