Gaya Hidup

Jangan Pandang Ringan Pada Sabun, Ini Sejarah Penciptaannya Dalam Tamadun Dunia

Oleh Natirah Azira  •  2 Apr 2020  •  4 min baca

“Kehabisan stok hand sanitizer”

Terpampang pengumuman begitu di farmasi dan kedai-kedai runcit di musim COVID-19 ini. Pembersih tangan beralkohol itu laku keras. Orang ramai berebut ingin mendapatkannya, bimbang kuman atau virus COVID-19 menjangkiti badan.

Tetapi sebenarnya penggunaan sabun juga tidak kurang hebatnya jika ingin dibandingkan dengan hand sanitizer. Centre for Disease Control and Prevention (CDC) mencadangkan agar tangan dicuci sekerapnya dengan sabun kerana ia mampu menghilangkan lebih banyak jenis kuman dan bahan kimia yang melekat di tangan berbanding sanitizer.

Sabun terbukti mampu menghilangkan kuman seperti Cryptosporidium, norovirus dan Clostridium difficile.

Namun jika sabun dan air sukar didapati, pembersih tangan yang mempunyai 60% alkohol dapat mengelakkan penyebaran kuman kepada orang lain. Walau bagaimanapun masalah timbul apabila sanitizer tidak digunakan dengan betul. Orang ramai mungkin menggunakannya dalam jumlah yang sedikit dan mengelapnya sebelum ia benar-benar kering.

Hand sanitizer juga tidak benar-benar bermanfaat apabila tangan dalam keadaan berminyak atau kotor malah penggunaan sabun ketika itu adalah lebih baik.

Sabun adalah suatu ciptaan yang sangat hebat yang sudah wujud sejak berkurun lamanya. Kewujudannya dipercayai bermula sekitar 2800 Sebelum Masihi lagi dalam ketamadunan Babilon. Ia dihasilkan dengan lemak yang direbus bersama abu. Sabun pada masa itu digunakan untuk membersihkan bulu binatang dan digunakan juga dalam perindustrian tekstil.

Manakala dalam tamadun Mesir Purba, masyarakat Mesir sudah mengamalkan mandi dengan menggunakan sabun.

Malah ‘Ebers papyrus’, sebuah manuskrip perubatan daripada tahun 1500 (SM) menjelaskan bagaimana sabun dibuat – iaitu dengan mencampurkan minyak daripada haiwan dan tumbuhan dengan garam alkali bagi menghasilkan bahan berbentuk sabun yang digunakan untuk merawat penyakit kulit dan juga untuk kerja-kerja mencuci. Ia seterusnya berkembang juga dalam tamadun Rom.

Sungguhpun ‘bath house’ atau rumah mandi terbuka sudah lama wujud dalam Tamadun Rom Purba, namun sabun dilaporkan tidak ditemukan pada masa itu. Malah Ratu Cleopatra hanya menggunakan minyak esen dan pasir putih yang halus untuk mandi dan pembersihan.

Walau bagaimanapun antara hal yang menarik dalam Ketamadunan Rom adalah penceritaan tentang bagaimana sabun mula-mula terhasil. Lagenda mengatakan bahawa sabun atau ‘soap’ dalam bahasa Inggeris diambil daripada nama Gunung Sapo.

Ia adalah tempat di mana binatang dikorbankan, kemudian air hujan telah mengalirkan sisa-sisa lemak binatang bersama abu kayu ke Sungai Tiber. Di situ, ianya terkumpul lalu orang ramai menjumpai bahan yang boleh digunakan untuk membersih pakaian dan kulit binatang.

Manakala sabun dengan aroma yang wangi dicipta di Timur Tengah ketika zaman kegemilangan Islam. Ajaran Islam yang menekankan tentang penyucian dan kebersihan juga membuatkan ia mendapat sambutan. Ia menjadi satu industri yang berkembang pesat pada waktu itu. Contohnya pada abad ke-12, Fez yang merupakan sebuah bandar di Morocco sudah mempunyai 27 kilang sabun.

Kewujudan banyak rumah mandian semasa zaman Turki Uthmaniyyah juga menjadikan sabun banyak digunakan malah ia mempunya bekas tempat letak yang khusus di bilik-bilik mandian.

Di Syria, sabun dihasilkan dengan menggunakan minyak zaitun, alkali dan juga limau. Ia seterusnya dieksport ke negara Islam yang lain dan juga Eropah. Terdapat juga teks dalam bahasa Arab pada abad ke-13 yang menceritakan secara terperinci resepi untuk membuat sabun. Teks ini dipercayai dikumpul oleh Raja Yaman iatu Raja Al-Muzaffar Yusuf Ibn Umar.

Pada abad ke-7, industri penghasilan sabun dianggap suatu kerja kesenian di Itali, Sepanyol dan Perancis. Negara-negara ini juga banyak menghasilkan sabun kerana wujudnya bekalan dan bahan mentah contohnya minyak daripada buah zaitun.

Namun setelah kejatuhan Rom pada abad ke-5 Masihi, budaya mencuci semakin hilang sehingga membawa kepada keadaan tidak bersih dan kotor di Eropah yang akhirnya membawa kepada wabak penyakit yang teruk termasuklah ‘Black Death’ yang berlaku sekitar abad ke-14 Masihi.

Bangsa Inggeris mula menghasilkan sabun pada abad ke-12 seterusnya semakin berkembang menjelang abad ke-16. Walau bagaimanapun ia berevolusi sebagai bahan yang banyak dimiliki oleh golongan yang kaya sahaja. Manakala pada abad ke-19, sabun dicukaikan sebagai barang yang berharga dan mewah di beberapa negara.

Sabun yang kita dapati hari ini sudah pasti berbeza dengan sabun yang dihasilkan pada masa lampau. Perkembangan teknologi dan kajian memungkinkan pelbagai formula penghasilan sabun dicipta – dalam pelbagai bentuk sama ada cecair mahupun dalam bentuk pepejal, dalam pelbagai saiz dan juga bau.

Usah memandang enteng fungsi sabun. Kegunaan serta manfaatnya sudah diiktiraf sejak berkurun lamanya. Ia bukan sekadar bahan pembersih namun pelindung asas yang dapat membendung diri kita daripada dijangkiti kuman yang boleh membawa kepada penyakit.

Rujukan:

1. Centre for Disease Control and Prevention
2. Cleaning Institute
3. History-science-technology


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami