Ulasan Buku

Ulasan Buku – 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur Oleh Mustafar Mohd Suki

Oleh Anaih Iylia  •  30 Mar 2020  •  3 min baca

Buku pertama yang berjaya dihabiskan daripada berpuluh hasil tangkapan pesta buku Big Bad Wolf tahun lepas. Sememangnya dah lama aku berhajat nak memiliki buku ini dan ternyata buku ini memang laris sampai lima kali dicetak semula sejak terbit pada tahun 2015!

Penulis buku ini merupakan seorang pendakwah lulusan bidang Syariah dari Universiti Yarmouk dan Universiti Malaya, dan tujuan buku ini tak lain dan tak bukan adalah untuk mendidik para pembacanya mengenali tentang cerita atau hadis palsu yang sekian lama berlegar dalam masyarakat Melayu-Islam di negara kita.

Setidak-tidaknya ilmu dari buku ini dapat membantu pembacanya mengikis ‘karat’ ini dari terus merebak di kalangan masyarakat.

Bahagian pertamanya menghuraikan faktor-faktor kewujudan hadis-hadis palsu yang kebanyakannya berpunca daripada Israiliyyat (kisah-kisah saduran daripada agama Yahudi dan Nasrani), dan daripada segolongan penglipurlara munafik seperti Sa’ad bin Tharif dan Maisarah bin Abdi Rabbih yang memang suka mencipta hadis palsu untuk mengejar populariti, membodek pemerintah, dan lain-lain lagi.

Ada juga disertakan kaedah asas untuk membezakan antara hadis yang palsu dengan yang sahih, di mana hadis palsu ini selalunya agak bombastik hingga amal yang kecil pun dijanjikan dengan pahala atau ganjaran yang teramat besar, misalnya jika solat dhuha sekian rakaat, dapat pahala bersamaan amalan 70 nabi, atau makan garam dapat menyembuhkan 70 jenis penyakit, dan macam-macam lagilah.

Kemudian, bahagian keduanya menyenaraikan 40 hadis palsu yang ada di antaranya memang mengejutkan aku; tak sangka betul kisah-kisah yang selalu dibaca dan didengar dalam ceramah agama sebenarnya langsung tak bersumberkan kepada Al-Quran atau Rasulullah SAW!

Ini sememangnya satu masalah besar bilamana Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda – barangsiapa berdusta dengan sengaja atas nama baginda, memang dia menempah tempat dalam neraka.

Antara hadis palsu yang cukup popular di kalangan masyarakat kita adalah hadis ‘payung emas’ – kononnya wanita yang membenarkan suaminya berpoligami akan berteduh di bawah payung emas di akhirat nanti.

Yang menariknya, ‘hadis’ ini hanya wujud di rantau Nusantara saja, dan tidak ada pun disebut di rantau Arab! Seterusnya pula kisah seorang pemuda bernama Alqamah yang kononnya hanya boleh mengucap dua kalimah syahadah di saat kematiannya setelah ibunya mengampunkan kesalahannya, ini pun ternyata palsu kerana salah seorang periwayatnya iaitu Abul Warqa Faid bin Abdul Rahman adalah seorang penipu.

Kemudian kisah Saidina Umar al-Khattab RA pernah membunuh anak perempuannya ketika beliau masih belum memeluk Islam, dan kisah Rasulullah menyebut ‘Ummati, ummati!’ (Umatku, umatku!) ketika menghadap sakaratulmaut pula adalah propaganda puak Syiah Rafidhah yang cuba memburukkan sahabat Nabi atau mengagungkan Saidina Ali secara berlebihan.

Daripada pembacaan aku, dapatlah disimpulkan bahawa hadis palsu ini tak ubah seperti berita palsu (fake news) yang sesetengahnya tergamak memetik nama Rasulullah SAW sebagai sumbernya walhal ia hanyalah rekaan entah siapa-siapa.

Walaupun ada antara ‘hadis’ ini membawa mesej yang baik dan menginsafkan seperti kisah Alqamah tadi, tapi ia tak bermakna nama Rasulullah SAW boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Hakikatnya, buku ini baru mengumpul 40 hadis palsu yang biasa kita dengar, walhal seorang ulama bernama Imam Hammad bin Zaid mengatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 4,000 hadis palsu rekaan puak zindiq (perosak agama) yang berlegar di luar sana!

Bagi aku, buku ini adalah sumber rujukan yang wajib dibaca oleh orang Islam, supaya kita tak termasuk dalam golongan yang menyebarkan fitnah berupa hadis-hadis palsu ini. Cuma aku harap penerbitnya dapat memperbetulkan beberapa kesalahan kecil dalam buku ini dalam edisi cetakan akan datang.

4/5 bintang!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anaih Iylia

Seorang bibliofil yang sedang menghabiskan masa cuti belajarnya dengan membaca dan mengulas buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami