Site icon Tazkirah

Bolehkah Menunaikan Solat Zuhur Awal Waktu Jika Tiada Solat Jumaat

Apabila berbicara mengenai solat Jumaat, kita sedar bahawa ia adalah solat yang wajib dilaksanakan oleh lelaki yang Islam dan baligh. Ia tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum baligh, tidak berakal, hamba, dan juga orang perempuan.

Ia juga merupakan hak yang dikerjakan setiap muslim secara berjemaah. Manakala, buat mereka yang tidak diwajibkan menunaikan solat Jumaat atau jatuh sebab keuzuran kepada mereka untuk meninggalkannya, maka ia perlu digantikan dengan menunaikan solat Zuhur seperti biasa.

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-jumu’a, 62:9)

Solat Zuhur ini pula perlu dilakukan setelah selesainya solat Jumaat di masjid-masjid (selepas imam memberi salam). Hal ini adalah bagi menghormati waktu solat Jumaat itu sendiri, bahkan jumhur ulama membahaskan bahawa solat yang dilakukan sebelum selesai solat Jumaat adalah tidak sah.

Perlu difahami bahawa hukum ini terpakai untuk golongan lelaki sahaja yang tidak ke masjid menunaikan solat Jumaat. Sedangkan wanita boleh terus melakukan solat Zuhur setelah masuk waktu seperti biasa.

Hal ini juga kerana golongan yang diwajibkan melaksanakan solat Jumaat tidak boleh sewenangnya menggantikannya dengan solat Zuhur. Adalah berdosa apabila meninggalkannya secara sengaja dan solat Zuhurnya perlu dilakukan selepas imam Solat Jumaat selesai memberi salam.

Syekh Hassan al-Kaaf menyebut dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm, 325) yang bermaksud:

“Tidak sah bagi orang yang tidak diberikan keuzuran untuk bertakbiratul Ihram bagi solat Zuhur sebelum imam solat Jumaat memberi salam.”

Adakah Sama Dengan Situasi COVID-19

Walau bagaimanapun, mengikut penerangan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah , perlaksanaan ini terbatal jika berlaku sesuatu keadaan yang menyebabkan solat Jumaat itu dibatalkan.

Tambahnya lagi, apabila ada sebab yang menyebabkan gugur kewajipan solat Jumaat itu ke atas seseorang seperti sakit, hujan lebat, musafir dan sebagainya maka larangan (tidak boleh menunaikan solat Zohor selagi solat Jumaat belum selesai) tidak terpakai buatnya.

Hal ini juga adalah sama dengan situasi yang sedang melanda negara kita hari ini apabila solat Jumaat dibatalkan berikutan bahayanya wabak COVID-19 yang melanda.

Perintah ini diputuskan bagi membantu memutuskan penularan wabak ini dan meletakkan manusia dalam keadaan yang boleh menyelamatkan diri.

Hal ini ada disebutkan oleh Syeikh muhammad al-Zuhaili – “Setiap keuzuran yang sama tahap keterukan dengan kesukaran orang yang sakit, maka itu adalah keuzuran (menurut syarak) secara qias ke atas keadaan sakit yang dinaskan ke atasnya. Maka, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang takut (bahaya) terhadap dirinya, atau hartanya seperti mana riwayat Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Barangsiapa yang mendengar azan tetapi dia tidak menjawabnya (yakni datang menunaikannya), maka tidak ada solat baginya melainkan kerana uzur. Mereka, (para sahabat) bertanya: “Apakah keuzuran itu?” Baginda kemudian menjawab: “Ketakutan dan sakit.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 551)

Kesimpulan

Justeru, dapat kita faham bahawa larangan (tidak boleh menunaikan solat Zohor selagi solat Jumaat belum selesai) ini telah gugur ke atas situasi yang sedang melanda kita pada hari ini. Maka, dibolehkan untuk umat Islam menunaikan solat Zuhur di awal waktu pada hari Jumaat.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah

Exit mobile version