Inspirasi

Status Hadis – Benarkah Kisah Nabi SAW Menyantuni Yahudi Buta

Oleh Fizah Lee  •  27 Mar 2020  •  3 min baca

‘Berbuat kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Berbuat kejahatan akan dibalas dengan kejahatan.’

Ungkapan ini mungkin sering kita dengar dan sentiasa bermain di cuping telinga kita sejak dari kecil untuk mengajar kita akan peri pentingnya berbuat kebaikan.

Apabila kita melihat sirah-sirah kenabian, mereka sering dikaitkan dengan perumpamaan yang berbeza, iaitu ‘apabila dilempar batu, tetapi dibalas buah.’

Begitulah persamaan murninya sifat mereka yang boleh kita ambil pengajaran. Walau banyak mana halangan yang dilontarkan oleh manusia, namun para nabi tidak pernah luntur semangatnya dalam berdakwah dan menyantuni mereka.

Lihatlah kisah Nabi Nuh yang diejek apabila baginda menyampaikan perkhabaran akan berlakunya banjir besar. Lebih menyedihkan apabila bahtera yang dibinanya sering menjadi tempat pembuangan najis.

Namun, apa yang baginda lakukan? Baginda masih sahaja tidak penat dalam menyampaikan dakwah, bahkan tidak menyimpan dendam. Manusia-manusia inilah yang akhirnya menaiki bahtera baginda apabila dilontarkan hidayah dan taufik Allah kepadanya.

Kisah Mahsyur Nabi Dan Yahudi Buta

Banyak lagi kisah mahsyur yang sering sampai ke telinga kita sebagai anjuran untuk kita mengambil iktibar darinya.

Pada zaman Baginda SAW juga, banyak tohmahan dan hinaan yang Baginda hadapi. Namun, semuanya Baginda lalui dengan penuh sabar dan berdoa sepenuh hati agar suatu hari nanti mereka akan dikurniakan taufiknya untuk memeluk Islam.

Antara kisah popular yang sering kita dengar ialah perbuatan Baginda menyantuni seorang yahudi buta di pasar dengan sentiasa memberinya makan pada setiap pagi.

Yahudi tersebut dikatakan sering menghina dan mencaci Baginda dengan mengatakan bahawa agama yang dibawanya adalah salah dan Baginda seorang tukang sihir. Sedangkan dia sendiri tidak pernah melihat Baginda SAW.

Maksud: “Di pasar Madinah, terdapat seorang yahudi yang miskin dan buta. Lelaki ini sentiasa mengingatkan orang yang lalu-lalang dekatnya dengan berkata kepada mereka bahawa Muhammad adalah seorang pendusta dan penyihir. Di samping itu juga, dia sering mengejek dan menghina Nabi SAW. Disebabkan itu, Rasulullah sering menziarahinya pada setiap pagi untuk memberi makan kepada lelaki tersebut tanpa Baginda mengucapkan satu patah perkataan pun dan tidak mendedahkan dirinya sehinggalah Baginda wafat.

Pada suatu hari, Abu Bakar RA bertanya kepada ‘Aisyah RA: “Adakah terdapat sunnah daripada sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang tidak aku lakukan?” ‘Aisyah RA menjawab: “Sesungguhnya engkau telah mengikuti kesemua sunnahnya melainkan satu perkara. Lalu, ‘Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah sentiasa memberi makan kepada seorang yahudi yang buta pada setiap pagi. Setelah itu, Abu Bakar terus mengambil makanan dan pergi ke rumah yahudi tersebut. Dia menyedari bahawa orang yang memberinya makanan ini bukanlah orang yang sama seperti sebelum ini.

Yahudi itu bertanya kepada Abu Bakar berkenaan siapa yang memberi makan kepadanya sebelum ini. Abu Bakar kemudian mengatakan bahawa ia adalah perbuatan Baginda SAW. Apabila mendengar sahaja penjelasan daripada Abu Bakar itu, yahudi tersebut menangis dan menyesal dengan perbuatannya yang sering menyakiti Nabi SAW dengan kata-katanya. Akhirnya, Yahudi tersebut masuk Islam akibat daripada perbuatan Nabi SAW itu.”

Namun, tahukah anda bahawa kisah ini adalah kisah yang palsu dan direka-reka. Menurut penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah, kisah ini tidak dijumpai sumber yang sahih.

Oleh yang demikian, kisah ini tidak boleh disebarkan sembarangan kerana ia kisah yang tidak sahih. Namun, jika tujuan untuk mengatakan ketidaksahihan kisah tersebut, adalah tidak mengapa.

Kesimpulan

Banyak cara dan aturan yang diajar dalam Islam untuk melakukan kebaikan. Mudah sahaja untuk berbuat baik. Buatlah sesuatu itu berpada-pada dan mengikut kemampuan anda sendiri.

Namun, perlu diingat agar jangan beramal dengan perkara-perkara yang tidak sahih apatah lagi menyebarkannya kepada orang lain.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami