Gaya Hidup

Mengapa Orang Tidak Patuh Arahan – Hujah Terhadap Pemikiran Salah Tentang Covid-19

Oleh Baha'uddin Hamizan  •  25 Mar 2020  •  7 min baca

Seperti yang kita sedia maklum, pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 18 Mac sehingga 31 Mac. Keputusan ini dibuat berikutan graf kenaikan kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat sekaligus risiko penularan virus ini dalam kalangan rakyat Malaysia sangat tinggi.

Berdasarkan laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, 17 kematian telah dicatatkan sehingga hari ini. Sementara itu, Menteri Pertahanan juga telah mengerah anggota tentera di beberapa lokasi bagi membantu pihak kerajaan melaksanakan kawalan pergerakan. Hal ini disebabkan perintah tersebut yang kurang mendapat kerjasama daripada segelintir orang awam.

Sepanjang tempoh ini, kita dapat lihat laporan daripada media berkenaan beberapa perbuatan jelik sesetengah orang yang memperlekehkan situasi runcing ini.

Saya terbaca di dalam Facebook melalui hantaran seorang pensyarah UiTM, Ahmad Farami yang mengatakan bahawa kita sedang berhadapan dengan cultural barriers dalam melaksanakan pencegahan wabak Covid-19.

Ini kerana, setiap individu mempunyai kepercayaan sosio-budaya masing-masing yang ada kalanya berbeza daripada pendapat mainstream (arus perdana). Contohnya percaya bahawa ini adalah perbuatan syaitan untuk merosakkan umat manusia.

Oleh itu, penulisan kali ini bertujuan untuk berhujah melawan pemikiran-pemikiran tempang yang muncul berkenaan virus bahaya ini.

Lebih Takut Allah Daripada Virus

Beberapa individu yang menzahirkan peribadi beragama telah berhujah bahawa kita tidak perlu panik dan jangan berhenti berkumpul. Hujahnya adalah – kita hanya perlu takut kepada tuhan yang Maha Esa dan bukannya makhluk ciptaannya, virus Covid-19.

Berikutan itu, saya melihat ia sekadar sebuah slogan semata-mata yang tidak memberikan apa-apa penyelesaian kepada masalah besar yang sedang melanda satu dunia.

Ini membuatkan saya teringat akan kata-kata Mufti Perlis sewaktu beliau menyampaikan forum di Pulau Pinang bersama Salman Ali dan moderatornya, iaitu Ustaz Rizal Azizan.

Dr Asri telah menjawab persoalan mengenai slogan yang sering digunakan beberapa pihak untuk kepentingan pihak yang lain. Beliau memetik sirah pada zaman pemerintahan Saidina Ali yang telah berdialog dengan golongan Khawarij.

Golongan Khawarij sering menggunakan slogan pengadilan perlu diberikan mengikut hukum Allah dengan laungan إن الحكم إلا الله (Tiada keputusan melainkan bagi Allah). Lalu Saidina Ali menjawab dengan kata-kata yang terkenal, كلمة حق يراد بها الباطل (Kalimah yang benar tetapi dengan maksud yang batil).

Apabila diperhatikan, penggunaan slogan yang menarik adalah salah satu bentuk retorik yang sering digunakan orang ramai. Contoh yang paling mudah – ahli politik yang sentiasa melontarkan kata-kata indah tetapi perlaksanaannya adalah berbeza.

Berbalik kepada isu Covid-19, laungan ‘kita hanya takut pada Allah dan bukan pada virus’ adalah salah satu daripada jutaan slogan sepanjang sejarah ketamadunan manusia.

Slogan-slogan begini tidak memberikan solusi yang berkesan, malah mengakibatkan lebih banyak kesan buruk terhadap orang ramai. Ia disebabkan kedegilan kita untuk mematuhi arahan pemerintah yang bertujuan mengekang kerosakan sehingga membawa kepada kematian.

Manakala Dr Zulkifli al-Bakri juga telah menjawab hujah ini dengan mengatakan bahawa usaha mencegah, menjauhi dan mengamalkan penjagaan kesihatan rapi merupakan sebahagian daripada perintah Allah.

Apabila kita berikhtiar, ia sejuzuk dengan makna kita takut kepada Allah, kita ikut perintah Allah dan mengambil hukum sebab yang diperintahkan kepada kita.

Sangkaan Baik Yang Terlajak

Penulis buku The Human’s Complex, Zamir Mohyedin, memberi komen dalam Facebooknya – masyarakat degil dan ingkar akan arahan pemerintah adalah disebabkan wujud sifat bias optimis dalam diri seseorang.

Bias optimis atau optimism bias adalah salah satu bentuk pemahaman yang menyimpang bahawa kecenderungan untuk berlakunya perkara buruk terhadap diri kita adalah kurang berbanding fakta dan kajian yang telah dijalankan.

Kebanyakan dari kita percaya bahawa kemungkinan untuk dijangkiti virus ini adalah kurang. Saya bawakan satu contoh, iaitu seorang lelaki yang telah ditahan polis kerana memperlekehkan pihak berkuasa akan arahan PKP dengan memuat naik video mengadakan kenduri kepala kambing sambil mengutuk orang lain yang patuh.

Manakala, contoh umum yang lain ialah risiko kemalangan jalan raya dan risiko penyakit akibat merokok. Bias optimis menjadikan kita melihat sesuatu perkara atau isu daripada perspektif yang menyimpang. Justeru mengakibatkan kita lebih berisiko untuk berhadapan dengan perkara tersebut.

Hal ini telah disyarahkan oleh Tali Sharot, Profesor di jabatan Experimental Psychology, University College London dalam TED Talk pada tahun 2012. Beliau bawakan contoh perkahwinan.

Berdasarkan kajian menunjukkan 40% kebarangkalian untuk setiap pasangan bercerai. Namun jika kita tanya kepada pasangan yang baru berkahwin, semuanya akan percaya mereka ada 0% untuk bercerai dikemudian hari.

Tetapi perkara yang sebaliknya berlaku apabila kita melihat kepada statistik daripada Jabatan Agama Islam Negeri, seperti yang pernah dilaporkan oleh media sebelum ini. Sebab itulah wujudnya individu-individu yang masih ingkar dan tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan.

Menurut Tali Sharot, bias optimis ini perlu diseimbangkan melalui kempen-kempen kesedaran dan pengurusan jangkaan (expectation). Kita perlu memastikan jangkaan kita berdasarkan sesuatu yang realistik.

Kebanyakan hujah yang diguna pakai oleh orang yang ingkar ini ialah ‘kalau hendak kena, kita akan kena juga apabila tiba masanya’ lalu bertindak sambil lewa dengan anggapan tiada apa-apa yang akan berlaku kepada diri sendiri.

Mereka tidak percaya pada kaedah memutuskan rangkaian wabak virus dengan duduk diam di rumah. Ini satu pemikiran yang digelar self-fulfilling prophecy yang bermaksud akibat yang kita hadapi adalah daripada perbuatan dan kepercayaan sendiri.

Dalam isu Covid-19, kita ingkar arahan pemerintah dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan. Seperti kes pesakit ke-136 yang menjadi punca utama kepada penyebaran wabak ini di Malaysia. (Menurut sumber dari Kini News Lab di bawah Malaysiakini)

Pesakit tersebut mengalami demam ketika virus ini telah heboh seluruh dunia. Namun, dek kepercayaannya kepada bias optimis, beliau tetap juga ke luar negara dan menyertai majlis tabligh sehinggakan begitu ramai kes kluster yang dilaporkan daripada jemaah tabligh.

Begitu juga sebuah lagi kes yang dilaporkan berlaku terhadap seorang lelaki daripada Johor yang telah menaiki bas ke Kuantan walaupun beliau telah disahkan positif Covid-19. Ini terjadi apabila kita berfikir ‘apa hendak jadi, jadilah aku tak kisah’ sehingga akhirnya menyusahkan orang lain disebabkan sikap mementingkan diri sendiri.

Kesempatan Dalam Kesulitan

Dalam masa ini, penjualan topeng muka dan pembersih tangan (hand sanitizer) agak rancak dijual dengan harga yang tinggi berbanding biasa.

Alasan yang diberikan ialah stok terhad dan harga kilang telah dinaikkan. Sehinggakan ada orang yang sanggup menipu menjual pembersih tangan dengan cara menggunakan pek sendiri atas jenama yang sedia ada.

Contohnya ada individu yang mengisi kembali cecair pembersih tangan ke dalam botol yang lebih kecil dan menampal menggunakan kertas cetakan sendiri sebagai pembalut. Padahal ia adalah jenama Dettol atau jenama-jenama lain yang kemudian dijadikan miliknya.

Perkara ini menjerumus kepada perbuatan al-ihtikar atau hoarding. Maksud al-ikhtikar ialah menyimpan barang terhad dan menjualnya dengan harga tinggi sewaktu permintaan meningkat.

Menurut Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din, perbuatan itu ialah penjual barangan menyimpan barangan (kerana) menunggu harga dinaikan.

لاَ يَحتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ

“Monopoli hanya dilakukan oleh orang yang bersalah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1605)

Nabi melarang kita daripada mengambil kesempatan terutama ketika berlakunya krisis di satu tempat. Perbuatan menaikkan harga barang kepada harga yang tidak munasabah hanyalah membebankan golongan berpendapatan rendah. Ini termasuk dalam larangan berlaku zalim terhadap orang lain.

Tular di Tennessee, Amerika Syarikat mengenai dua orang beradik, Matt Colvin dan Noah Colvin yang membeli 17,000 pembersih tangan dan pengelap anti-bakteria. Mereka telah dikenakan tindakan oleh pihak eBay dan Amazon dan akaun mereka sudah digantung daripada urusan jual beli.

Tindakan itu mendapat perhatian media dan rakyat sehinggakan mereka dikecam teruk dan diancam oleh pelbagai pihak. Akhirnya mereka mendermakan barangan itu kepada pihak gereja untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Daripada kisah ini, kita dapat ambil pengajaran untuk sama-sama memainkan peranan sebagai masyarakat yang prihatin supaya dapat menghalang berlakunya kezaliman oleh pihak-pihak yang sengaja mengambil kesempatan di dalam kesempitan.

Namun, apabila membaca di dalam Twitter, terdapat segelintir yang menyokong perbuatan ini atas alasan ‘tolong orang mendapatkan barangan dengan mudah’.

إِنَّ التُجَّارَ يُبعَثُونَ يَومَ القِيَامَةِ فُجَّارًا ، إِلَّا مَن اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ

“Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 48)

Kesimpulan

Agama menasihati kita untuk berlaku jujur dan berbuat baik. Ketika dunia diserang oleh pandemik virus Covid-19 ini, langkah yang boleh kita lakukan ialah mencari jalan untuk membantu orang lain. Tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan amal jariah bersedekah. Ini adalah perkara yang patut kita lakukan.

Usah sibukkan diri dengan menimbulkan masalah apatah lagi menyusahkan orang lain. Sumbangan boleh dilakukan dalam apa jua bentuk sama ada wang, barang keperluan dan menyebarkan berita-berita yang sahih dan mengelakkan berita palsu bagi mengekang kekeliruan kepada orang lain.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Baha'uddin Hamizan

Graduan dari Universiti Teknologi MARA, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi. Penulis bersama buku bertajuk Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Must Read) dan Cinta (Puteh Press). Vlogger kepada channel Youtube bernama Bahak Stories.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami