Ulasan Buku

Buku “Lembaga Budi” – Peraturan Dan Hukuman Wujud Untuk Mengajar Manusia Bertamadun

Oleh Fizah Lee  •  20 Mar 2020  •  3 min baca

Kadang-kadang masyarakat juga melakukan dosa kepada masyarakat yang lain. Ada segelintir masyarakat yang sanggup menjatuhkan orang lain demi menaikkan diri sendiri untuk mencapai matlamatnya. Ada golongan kaya yang sanggup menutup mata terhadap mereka yang kurang berkemampuan kerana rasa jengkel atau memang tidak ingin membantu.

Allah menciptakan manusia di muka bumi ini adalah untuk saling berkenal-kenalan. Dengan itu, manusia akan saling membantu antara satu sama lain dan hak terhadap manusia dapat ditunaikan.

Namun, hari ini, kita lihat ramai yang mementingkan diri sendiri semata-mata kepentingan yang dilihat dari sebelah mata sahaja dan mengabaikan orang lain.

Walaupun wujudnya hukuman atau kata-kata yang berbaur ugutan, namun masih ada golongan yang leka dan alpa akan perintah tersebut. Hal ini yang akan menyebabkan ramai manusia yang akan tergadai dek pemikiran-pemikiran yang mementingkan diri sendiri itu.

Walhal, jika dilihat aturan Islam yang sudah diajar sejak 1400 tahun dahulu, menyayangi saudara (orang sekeliling) adalah salah satu daripada tanda sempurna iman seseorang.

Bukan sahaja manusia dituntut untuk menghormati dan menyayangi semua orang, namun sama-sama membantu agar keselamatan dan kebajikan semua tidak akan terabai.

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksud: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 13)

Hukuman Wujud Untuk Membudikan Manusia

Apabila seseorang itu berbuat kejahatan, maka akan timbullah dua jenis kemudaratan – Yang pertama ialah yang boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan yang kedua ialah tidak lain dan tidak bukan kemudaratan yang boleh menjejaskan manusia lain.

Bagaimana kejahatannya boleh memudaratkan diri sendiri? Mungkin ia boleh menyelamatkan fizikal anda buat masa sekarang namun lama-kelamaan, seseorang itu akan hilang keberanian jiwa untuk menghadapi masyarakat kerana didorong oleh dosa-dosa yang lalu.

Disebabkan itu, hukuman telah diwujudkan. Namun, pada zaman dahulu, hukuman dijatuhkan adalah untuk melepaskan dendam kepada mereka yang bersalah.

Sebab itu dapat kita lihat pada abad-abad pertengahan wujudnya alat-alat yang sangat mengerikan yang digunakan untuk menghukum seperti alat untuk mencungkil mata, alat untuk memotong lidah dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, seiring perkembangan dunia dan bertambahnya budi yang dilontarkan ke dalam jiwa-jiwa manusia, tujuan hukuman bukan lagi untuk membalas dendam, namun lebih kepada mengajar menusia akan hakikat dosa.

Antara tujuan lain yang digariskan ialah:

#1 – Hukuman untuk mencegah manusia berbuat kejahatan. Terutamanya apabila hukuman tersebut dilakukan secara umum, nescaya manusia akan takut untuk melakukannya.

#2 – Memberi pengajaran kepada si pesalah agar dia menyedari akan hakikat dosa yang dilakukan.

#3 – Agar wujud perasaan insaf dalam diri si pesalah dan tidak akan mengulanginya lagi. Tamadun manusia mengajar agar dia mempunyai peluang untuk bertaubat walaupun belum keluar daripada penjara.

Justeru, dapat dilihat di sini, tujuan hukuman, peraturan dan arahan yang dicipta bukan semata-mata untuk menakutkan manusia, namun lebih kepada untuk mengajar manusia menjadi generasi yang bertamadun dan berbudi.

Sejarah itu bukan untuk dilupakan dan dibiarkan di dalam buku-buku dan catatan sejarah, tetapi untuk dipelajari dan diambil iktibar.

Bagaimana golongan terdahulu mengajar dan mentamadunkan manusia dengan pelbagai cara sehinggalah wujudnya pelbagai alternatif yang lebih baik pada hari ini membuktikan bahawa tamadun itu lahir seiring dengan zaman dan pengajaran.

Kesimpulan

Belajarlah daripada kesilapan dan sejarah. Bukan sahaja sejarah 1400 tahun yang lepas, bahkan sejarah semalam atau mungkin minggu lepas yang hadir. Bukalah mata anda agar kita dapat melihat jauh ke hadapan.

Sumber:
Buku Lembaga Budi oleh Hamka Bab Sepuluh


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami