Oleh Fizah Lee • 19 Mar 2020 • 2 min baca
Berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dilaksanakan kerajaan bagi membendung wabak koronavirus selama 14 hari, tanda pagar #dudukrumah kini mula tular di media sosial.
Sehingga kini, lebih 30 000 ciapan dan jumlah yang semakin meningkat setiap masa menunjukkan ia sebagai ingatan kepada semua orang untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian penularan wabak ini.
Walaupun hari ini, kita melihat masih ada segelintir rakyat yang mengabaikan arahan tersebut dengan tidak mengamalkan social distance dan juga keluar dari rumah tanpa ada keperluan, ingatan-ingatan seperti inilah yang perlu terus diberikan dan tular agar manusia sedar bahawa COVID-19 hari ini bukan lagi perkara yang boleh diambil remeh.
Semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam membendung masalah ini daripada terus tular. Bukan hanya doktor dan mereka yang bertugas sebagai pakar-pakar kesihatan yang bertanggungjawab penuh ke atas penyakit ini, namun semua orang ada peranan dan tanggungjawab yang perlu digalas.
Jika anda seorang influencer, maka gunakan pengaruh yang anda ada untuk menyebarkan maklumat yang betul dan berkesan kepada pengikut anda. Jika anda seorang pensyarah, berilah nasihat yang berguna kepada anak didik anda. Dan jika anda seorang ibu mahupun bapa, jaga dan cakna terhadap anak-anak anda agar mereka tidak ingkar akan arahan ini.
Walau siapa pun anda, kita semua memainkan peranan penting dalam usaha membendung penyakit ini. Ia sebagai salah satu cara kita untuk bertawakkal kepada Allah. Tawakkal dan doa sahaja tidak cukup jika ia tidak disertai dengan usaha.
Maksud: “Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Aku melepaskan unta aku dan kemudian aku bertawakkal.” Baginda berkata: “Ikatlah unta itu dan bertawakkallah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban, no. 731)
Benar, semua manusia akan dicabut nyawanya suatu hari nanti. Namun, adakah nyawa itu dicabut dalam keadaan kita sudah berusaha menjaganya atau dalam keadaan kita alpa?
Dalam situasi ini, jangan kita tergolong dalam kalangan mereka yang mementingkan diri sendiri dan mengabaikan keselamatan orang lain.
Jagalah diri anda, patuhi arahan dan dengan itu kita boleh sama-sama menjaga orang sekeliling juga.
Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik Ra, Baginda SAW bersabda: “Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Anas bin Malik, no. 13874)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.