Multi-level marketing (MLM) adalah suatu kaedah pemasaran yang terkenal tular suatu ketika dahulu. Dalam bahasa Melayunya dipanggil pemasaran berbilang tingkat kerana susunan konsep yang berbentuk piramid.
Secara mudahnya, seseorang itu mendapat keuntungan atau komisen atas penyertaan orang lain dalam sesebuah perniagaan yang dijalankan. Semakin ramai downline atau ‘orang bawahan’ yang diperoleh, makin semakin banyak pula insentif yang akan diraih oleh ‘orang atasan’.
Namun yang ingin dibicarakan kali ini bukanlah tentang perniagaan MLM yang pernah hangat dibicarakan tentang isu patuh syariah atau tidak, tetapi penekanan bahawa dalam konsep pahala juga ada sistem MLM yang dijamin halal. Bagaimana?
Jawapannya mudah. Orang yang menjadi pemula kepada suatu perbuatan yang baik, apabila orang lain mengikutnya, maka yang memulakan tadi akan mendapat pahala yang sama tanpa dikurangkan sedikit pun pahala yang diperoleh oleh orang lain. Malah tidak ada juga kerugian yang akan dialami.
Rasulullah SAW juga ada bersabda mengenai perkara ini yang membawa maksud:
“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah (perbuatan) yang baik, maka baginya pahala perbuatan tersebut dan pahala sesiapa yang mengikutinya melakukan perbuatan itu tanpa dikurangi pahala mereka yang mengikutinya itu sedikit pun.
Dan sesiapa yang memulakan dalam islam (sunnah) perbuatan buruk, maka baginya dosa perbuatan tersebut dan dosa sesiapa yang mengikutinya melakukan perbuatan itu tanpa dikurangi sedikit pun dosa mereka yang mengikutinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Malah Imam Ghazali ada menyebutkan tentang hal ini dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din.
“Betapa beruntungnya buat orang yang mati, dalam masa yang sama, dosanya juga turut mati (terhenti), tetapi celakalah buat orang yang mati, namun dosanya masih kekal berterusan selama seratus tahun, dua ratus tahun, atau lebih dari itu. Dia diazab di dalam kuburnya kerana dosa-dosa tersebut”.
Ia adalah pesanan yang akan menimbulkan kegusaran kepada orang yang benar-benar memperhatikan amalannya. Cuba bayangkan tanpa kita sedari kita sebenarnya meninggalkan dosa jariah yang diwarisi zaman berzaman. Lantas di akhirat kelak kita dihadapkan dengan perkara tersebut. Ia perkara yang mengerikan!
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.” (HR. Ibnu Majah, no. 237 – Status Hadis Hasan dalam Ash-Sahihah, no. 1332)
Beruntunglah orang yang menjadi pemula kepada amalan yang baik kerana dia akan mendapat saham pahala yang berlipat kali ganda yang akan menanti di akhirat kelak. Kita tidak perlu menunggu, tetapi jadilah lebih proaktif dengan mula melakukan sesuatu yang bermanfaat dan berguna yang dapat ditinggalkan sebagai warisan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.