Oleh Natirah Azira • 6 Mar 2020 • 3 min baca
Jumaat datang lagi. Ia hari yang penuh kemuliaan dan disediakan ganjaran istimewa buat mereka yang mengambil manfaat darinya.
Ganjaran pahala dan kebaikan yang tersedia di sebalik amalan-amalan dan waktu-waktu yang mustajab pada hari Jumaat sudah pasti lebih baik dan indah lagi.
Bagi golongan yang dituntut untuk menunaikan solat Jumaat pula, ada keistimewaan lain yang tersedia iaitu ganjaran bagi yang datang awal ke masjid untuk solat Jumaat.
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”. (Riwayat al-Bukhari, no.881 dan Muslim, no.850)
Para ilmuwan mempunyai beberapa pendapat berkaitan hal ini, antaranya:
1. Bermula Daripada Terbit Fajar
Menurut Kitab Muktamad dalam Mazhab Syafie, masa-masa yang dinyatakan dalam hadis di atas bermula daripada terbit Fajar. Pada masa ini juga seseorang boleh mandi sunat hari Jumaat sebelum ke masjid.
2. Tempoh Yang Singkat Selepas Tergelincir Matahari
Manakala ada pula yang berpendapat bahawa ia adalah tempoh-tempoh yang singkat selepas tergelincir matahari (matahari yang pada asalnya berada tegak di atas kepala telah condong ke arah barat), atau waktu mula masuk Zohor. Pendapat ini dipilih oleh Al-Qadhi Husain, Imam Al-Haramain dan juga dipegang dalam Mazhab Malik.
3. Siapa Yang Datang Dahulu Ke Masjid
Menurut penjelasan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan, berkaitan dengan tempoh masa pertama, kedua dan seterusnya bukan merujuk kepada masa-masa tertentu tetapi siapa yang datang dahulu ke masjid.
Imam Ibnu Hajar apabila mengulas hadis daripada Abu Hurairah mengatakan bahawa maksud datang awal ke solat Jumaat adalah dapat mengikuti khutbah daripada awal serta sempat untuk solat. Makruh hukumnya untuk datang lambat jika terdapat kelapangan waktu.
Malaikat pula akan berada di pintu-pintu masjid untuk mencatat siapa yang datang awal, kemudian akan berhenti apabila imam telah masuk untuk menyampaikan khutbah. Sesiapa yang hadir selepas itu tidak lagi memperolehi ganjaran orang yang hadir awal ke solat Jumaat.
Abu Hurairah R.anhu, Rasulullah SAW bersabda,
“Apabila hari Jumaat tiba maka akan ada para malaikat di setiap pintu-pintu masjid. Mereka akan mencatat setiap orang yang datang dari yang pertama, lalu berikutnya dan berikutnya. Hingga ketika Imam telah naik di mimbarnya para malaikat pun menutup catatan-catatannya, lalu mereka ikut mendengarkan khutbah.” (HR. Bukhari 3211)
Rebutlah ganjaran yang disediakan dengan datang awal ke masjid, kerana seperti yang kita ketahui, ganjaran seumpama ibadah korban adalah suatu yang besar dalam Islam. Ia menggambarkan kesanggupan seseorang mengorbankan hartanya demi mendapat redha Allah SWT. Ia akan datang semula di akhirat sebagai bukti iman seorang hamba.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.