Oleh Natirah Azira • 2 Mar 2020 • 3 min baca
Jika badan dalam keadaan tidak sihat, kita akan ke klinik untuk berjumpa doktor untuk memeriksa apakah penyakit yang dialami. Doktor akan memeriksa keadaan badan seperti tekanan darah, denyutan nadi dan sebagainya.
Bagaimana pula jika kita ingin memastikan hati sentiasa dalam keadaan baik? Kita sedia maklum bahawa keadaan hati boleh dipengaruhi oleh perkara luaran sama ada daripada tindakan diri sendiri, tindakan orang lain mahupun keadaan sekeliling. Jadi, bagaimana untuk mengetahui tindak-tanduk yang dilakukan sehari-hari benar atau salah, sesuai atau tidak?
Tidak lain tidak bukan, caranya adalah dengan bermuhasabah. Dalam artikel yang lalu, Tzkrh sudah berbicara dengan panjang lebar tentang konsep muhasabah dan juga sudut-sudut yang mesti diberi perhatian. Jadi sekarang, mari kita telusuri pula apakah manfaat yang akan diperoleh daripada latihan muhasabah ini.
Ada masanya kita tidak menyedari kesalahan diri sendiri. Setiap orang pernah merasakan bahawa diri sendiri sahaja betul sedangkan apabila suatu masalah terjadi, tanggungjawab bersama perlu diambil.
Sudah pasti bukan seratus peratus kesalahan perlu diletakkan kepada orang lain. Dengan bermuhasabah, kita akan menyedari kekurangan dan aib diri sendiri. Muhasabah dapat membantu kita mengenal pasti masalah dan kelemahan yang boleh diperbaiki.
Apabila seseorang bermuhasabah tentang hubungannya dengan Allah, dia akan mula menilai kembali apakah dia sudah menyempurnakan hak-hak Allah dengan sebaiknya atau tidak. Hatinya menjadi tunduk dan tawaduk dengan segala perintah Allah serta rendah diri apabila menyedari masih banyak kecatatan dalam amalan.
Kesalahan dengan manusia pula adalah lumrah yang tidak dapat dielakkan. Muhasabah akan membuatkan seseorang menyedari sudut mana lagi yang perlu diperbaiki untuk menjaga dan memelihara ukhwah yang telah dibina.
Orang yang bermuhasabah akan disenangi manusia lain. Hal ini kerana, muhasabahnya biasanya akan disusuli dengan perasaan menyesal, serta hati yang telah menjadi lembut kerana rasa penyesalan dan pengakuan hakikat kesalahan diri sendiri.
Sekalipun keadaan yang buruk tidak dapat dielakkan, dia akan memilih jalan yang paling sedikit mendatangkan mudarat kepada orang lain.
Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah pernah berkata,
“Sungguh besar manfaat yang akan diperoleh bagi orang yang duduk sebentar sebelum tidur untuk memuhasabah diri, untuk melihat keuntungan dan kerugiannya pada hari itu. Dia memperbaharui taubat nasuhanya antara dia dengan Allah kemudian ia tidur dengan taubatnya dan bertekad untuk tidak mengulangi dosa apabila terjaga nanti.”
“Lakukanlah amalan ini setiap malam. Jika ia mati pada suatu malam, maka ia mati dalam keadaan taubat. Jika ia terjaga, maka ia terjaga dalam keadaan bersedia untuk beramal dan gembira kerana ajalnya ditangguhkan, lalu ia menghadap Tuhannya dan memperbaiki kekurangannya.”
Muhasabah adalah kemestian bagi seorang Muslim. Sahutlah seruan Tuhan untuk melakukan proses hisab diri sebelum tibanya hisab yang sebenar di akhirat kelak.
Wallahua’lam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.