Gaya Hidup

Ujian atau Musibah – Perspektif Anda Sendiri Yang Menentukannya

Oleh Fizah Lee  •  24 Feb 2020  •  3 min baca

Jika sesuatu perkara buruk tertimpa kepada bukan Islam, pasti kita akan menghukum dengan menyebut bahawa ia adalah musibah. Namun, jika ia terkena kepada umat Islam, pasti kita akan menyebut bahawa itu semua adalah ujian.

Adakah Allah memilih untuk memberikan musibah kepada bukan Islam sahaja dan orang Islam hanya mendapat ujian semata-mata?

Bukan begitu wahai pembaca. Ujian itu sentiasa diberikan kepada semua makhlukNya. Pandangan manusia sendiri akan menukarkannya sama ada daripada perspektif musibah, dugaan atau ujian.

Golongan Islam yang dapat mengharungi ujian akan diganjarkan pahala kerana ia adalah salah satu bentuk ibadah. Pemurahnya Allah yang akan mengurniakan ganjaran dalam setiap apa yang dilalui manusia.

Melaluinya, ia akan menjadikan manusia semakin dekat atau semakin jauh denganNya. Sebab itu, kita sering dengar bahawa Allah menghantarkan ujian itu dalam dua bentuk, melalui kesenangan atau kesusahan.

Sama ada musibah, nikmat ataupun dugaan, ia semua adalah ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada setiap makhlukNya. Perspektif yang dilihat oleh mereka yang tertimpanya adalah bergantung. Memperoleh kesenangan dan kekayaan juga merupakan ujian, untuk Allah melihat adakah dengan adanya kesenangan itu akan membuatkan manusia semakin bersyukur atau semakin lupa kepadaNya.

Apabila dilanda kesusahan, itulah yang dimaksudkan dengan musibah dan dugaan. Di situlah manusia akan jatuh tersungkur dan mencari hikmah. Mengapa ia terjadi? Adakah ia balasan ke atas setiap dosa? Mampukah aku mengharunginya? Dan banyak lagi persoalan yang akan timbul di benak fikiran makhluk.

Kekuatan hati yang akan menepis semua persoalan itu dan membangkitkan kembali semangat untuk mengharungi kehidupan.

Dari situ, kita akan melihat naik atau turunnya iman seseorang, sama ada untuk terus menyalahkan atau bangkit dari belenggu masalah. Itulah juga bezanya mukmin, muslim dan bukan muslim.

Mukmin yang kuat imannya akan bertakwa dan menganggap ujian sebagai satu bentuk tangga untuk menggapai pahala dan keredaan Allah. Adapun, jika bukan Islam, mereka akan menganggap bahawa ia adalah musibah semata-mata. Sedangkan ujian ada diterangkan sebagai salah satu bentuk untuk membersihkan dosa-dosanya.

#1 – Sebagai Pembersih Kepada Dosa

Maksud: “Orang yang paling banyak mendapatkan ujian di jalan Allah adalah para nabi, kemudian orang-orang yang kedudukannya setelah mereka (dalam keimanan) dan orang-orang yang kedudukannya setelah mereka.

Setiap orang akan diuji sesuai dengan kuat atau lemahnya agama (imannya). Kalau agamanya kuat, maka ujiannya pun akan (makin) besar, kalau agamanya lemah, maka dia akan diuji sesuai dengan (kelemahannya) agama dan akan terus-menerus Allah timpakan ujian kepada seseorang sampai (akhirnya) hamba tersebut berjalan di muka bumi dalam keadaan tidak punya dosa sedikit pun.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, no. 2398)

#2 – Untuk Manusia Bersabar

Maksud: “Alangkah mengagumkan keadaan seorang mukmin kerana semuanya (membawa) kebaikan kepada dirinya. Dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan maka dia akan bersyukur dan jika dia ditimpa musibah maka dia akan bersabar. Maka, itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2999)

#3 – Sebagai Bentuk Pengabdian KepadaNya

Maksud: “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau orang yang sedang melakukan perjalanan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6053)

Kesimpulan

Tuntasnya, setiap makhluk dalam dunia ini akan ditimpa musibah dan dugaan kerana ia merupakan ujian yang Allah berikan. Hanya mata hati kita mampu melihatnya dalam perspektif untuk menjadi yang lebih baik atau tidak.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami